suria

Tomok & Aril Sambung Ijazah Di UUM

Tomok teruja mendapat peluang untuk menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) sesi Oktober 2015.
PETALING JAYA: Dua penyanyi iaitu Tomok dan Aril berjaya meluaskan lagi tahap pendidikan masing-masing selepas diterima sebagai salah seorang penuntut Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) sesi Oktober 2015.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 31, berkata, dia menerima surat tawaran tersebut pada Isnin lalu selepas mengambil beberapa ujian kemasukan dua minggu lalu bersama dua penyanyi tersebut.

"Alhamdulillah baharu semalam (Isnin) saya dapat surat mengatakan saya diterima untuk menyambung pengajian di UUM menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

"Perasaan teruja itu memang ada kerana sudah menjadi impian saya untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dan akhirnya tercapai.

"Tambah manis apabila mengetahui rakan saya Aril turut diterima sebagai salah seorang penuntut program sama," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Aril tidak menyangka dapat peluang menyambung pengajian.

Program tersebut diadakan khas oleh pihak UUM untuk memberi peluang kepada penggiat seni dan ia pertama kali dibuat pada tahun 2010.

Antara selebriti yang pernah mengikuti program pengajian anjuran UUM ialah adalah Presiden, Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, Zehra Zambri dan Diddy Hirdy.

Diddy yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim keempat, kini melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Industri Muzik di Universiti Liverpool, United Kingdom.

Tambah Tomok bagi seorang penyanyi sepertinya, kursus berkenaan membolehkan mereka belajar tentang aspek pengurusan dalam industri kreatif dan bukannya sekadar tertumpu kepada bidang nyanyian sahaja.

"Insya-Allah dengan ilmu yang ada kami boleh menguruskan kerjaya sendiri atau pun setidak-tidaknya tahu tentang aspek pengurusan tanpa terlalu berharap kepada pihak lain.

"Ilmu itu adalah jaminan masa hadapan dan ia tidak pernah merugikan malah sebagai selebriti kita boleh menjadi contoh terbaik kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Aril atau nama sebenarnya,Khairil Azam Pilus, 30, berkata, dia pernah merancang untuk menyambung pengajiannya namun tidak menyangka peluang diberikan oleh pihak UUM datang tepat pada masanya.

"Saya sebenarnya mendaftarkan diri tanpa meletakkan sebarang harapan tetapi tidak sangka pula peluang itu datang secepat ini.

"Sudah tentu saya gembira kerana peluang sebegini bukan datang setiap hari tambahan pula ilmu itu penting buat persiapan pada masa hadapan," jelasnya.

Kedua-dua selebriti berkenaan dijangka menghadiri kuliah di kampus UUM Kuala Lumpur dekat sini yang mengambil masa selama empat tahun.

Tomok, Hazama, Aril

Artikel Lain