PETALING JAYA: Penyanyi Adam (AF) berkata pengalaman lalu pernah leka dengan kehidupan dunia membuatkan dia menghasilkan lagu berbentuk kerohanian iaitu Mendekatimu. Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 32, menyifatkan sikap leka tersebut pasti pernah dilalui orang lain dan kerana itu dia ingin mengingatkan sesama saudara Islam lain menerusi lagu berkenaan. "Sebagai manusia, ada masanya kita gembira dan ada masa kita sedih. Tetapi bila gembira, kita lupa kepada Allah, bila sedih atau sedang dibelenggu dalam masalah, barulah kita ingat Dia. "Saya percaya pasti ramai yang lalui perkara ini, begitu juga saya. Sebab itu saya hasilkan Mendekatimu. Adam AF "Selain mengingatkan untuk diri sendiri, saya dapat berdakwah kepada saudara Islam lain," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu tambahnya, dia bersyukur kerana sempat sedar daripada kelekaan itu untuk kembali ke jalan Islam. Kata Adam, istimewanya Mendekatimu, lagu yang dihasilkan itu berkonsepkan balada pop dimana melodinya berbentuk mesra pendengar. "Lirik yang saya hasilkan juga sangat mudah difahami. Cuma utuk lagu ini, saya tidak menari seperti konsep lagu sebelum ini. "Video klip yang ditampilkan pun lebih menunjukkan kesederhanaan," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Adam juga akan muncul dengan sebuah lagu dance, berkolaborasi dengan kumpulan KRU.