suria

Pelakon Indonesia Reza Rahadian Bosan Berlakon Sinetron

Reza bakal muncul dengan siri original HBO Asia berjudul Halfworlds pada 29 November ini. Foto THE STAR/SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia Reza Rahadian enggan berlakon dalam sinetron di negaranya kerana sudah bosan dengan skrip dan jalan cerita yang ditampilkan.

Reza atau nama sebenarnya Reza Rahadian Matulessy, 28, berkata, sebelum ini dia pernah membintangi 14 buah sinetron dan merasakan sudah tiba masanya dia berehat seketika dan memberi fokus kepada karier di layar perak.

"Saya seorang yang cepat bosan dan sentiasa ingin melakukan sesuatu kelainan dalam karier saya dan sebab itu saya tidak mahu lagi berlakon dalam sinetron.

"Selain skrip dan jalan cerita yang tidak banyak beza saya ingin memberi fokus kepada filem pula," katanya kepada mStar Online.

Reza ditemui pada majlis pelancaran Siri Original HBO Asia berjudul Halfworlds di Hotel Grand Hyatt di sini, Rabu.

Selain Reza, siri lapan episod itu turut membariskan pelakon Indonesia dan Malaysia seperti Adinia Wirasti, Aimee Saras, Alex Abbad, Ariffin Putra, Bront Palarae dan Puteri Balqis.

Reza bergandingan dengan Bront Palarae dalam Halfworlds.

Ia bakal menemui penonton di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) bermula pada 29 November depan, pukul 10 malam.

Dalam pada itu, Reza berkata, dia tertarik hati untuk membintangi siri Halfworlds kerana jalan cerita ditampilkan berbeza selain faktor pengarahnya iaitu Joko Anwar.

Malah kata Reza, selepas 15 minit membaca skrip dan mengenai watak Tony, dia terus bersetuju menerima tawaran berkenaan tanpa berfikir panjang.

"Kisah mengenai penjelmaan makhluk dan iblis dari cerita dongeng Indonesia yang diterjemahkan dalam bentuk moden sangat lain daripada projek-projek saya sebelum ini.

"Saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju dan rasa bangga dapat terlibat dalam siri ini bersama barisan pelakon lain," jelasnya.

Selain Bront dan Reza, turut hadir pada sidang media tersebut adalah Penerbit Ekskutif dan Ketua Pengaturcaraan & Produksi HBO Asia, Erika North dan pelakon cilik Puteri Balqis.

Tambah Reza, dia juga melihat kolaborasi pelakon Indonesia dan Malaysia memberi tambah nilai kepada Halfworlds selain mengagumi bakat pelakon cilik Puteri Balqis.

"Balqis sangat berbakat besar dan dia membawa wataknya sebagai Tari dengan begitu bersahaja dan begitu juga Bront yang ada cara tersendiri membuat kami serasi bekerjasama menjayakan Halfworlds," ujarnya.

Sementara itu, pelakon filem Habibi & Ainun itu melihat penglibatannya dalam Halfworlds mampu membawa karier lakonannya ke tahap lebih tinggi.

"Saya tidak mengharapkan mendapat peluang untuk berlakon di Malaysia atau Singapura tetapi saya tahu penglibatan dalam siri ini dapat membawa karier lakonan saya ke tahap lebih tinggi.

"Sebagai pelakon yang sudah 10 tahun berada dalam industri saya tidak mahu berada di takuk lama dan ingin mengembangkan karier saya," ujarnya.

Reza Rahadian, Halfworlds, HBO

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan