KUALA LUMPUR: Pelakon Bront Palarae mengambil pendekatan memperkenalkan mana-mana pelakon wanita yang bakal digandingkan dengannya dalam sesebuah filem kepada isteri untuk mengelakkan timbulnya rasa curiga isteri. Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin, 36, berkata, biarpun mengetahui isterinya bukan seorang yang mudah cemburu, namun dia lebih selesa untuk bersikap telus dalam rumah tangga. "Isteri saya selalunya kenal dengan pelakon-pelakon wanita yang jadi heroin saya, lagi pula kebanyakkan mereka adalah kawan-kawan dia juga. "Cuma jika bergandingan dengan pelakon wanita yang belum pernah saya berlakon sebelum ini, saya akan bawa bertemu dan berkenalan dengan isteri saya dahulu," ujarnya kepada mStar Online. Bront ditemui pada majlis pelancaran filem baharunya berjudul Ola Bola yang diadakan di Stadium Merdeka di sini, Khamis. Para pelakon dan tenaga produksi filem Ola Bola. Pelakon ini berkahwin dengan penerbit di sebuah agensi pengiklanan pada 31 Ogos 2013 di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini. Perkahwinan itu menjadi kontroversi apabila Bront dikatakan menyembunyikan majlis tersebut daripada pihak media. Sementara itu, ditanya tentang identiti dan gambar isterinya yang tidak pernah didedahkan kepada umum sejak berkahwin dua tahun lalu Bront berkata, ia adalah atas permintaan wanita tersebut. Tambahnya, wanita itu juga memilih untuk berada bersama tetamu lain di sesebuah majlis daripada berjalan di permaidani merah yang disediakan pada majlis-majlis hiburan. "Saya tidak sorok isteri saya daripada media atau peminat, cuma dia yang tidak selesa jadi perhatian. Kalau di majlis hiburan saya selalu bawa dia tetapi dia minta untuk berada di tempat tetamu sahaja. "Dia tidak mahu bila diajak berjalan di permaidani merah macam orang lain dan tidak selesa apabila jadi perhatian orang ramai. Dalam perkembangan kerjaya, Bront bakal memegang watak pengulas sukan bernama Rahman dalam filem terbaharu berjudul Ola Bola yang dijangka ditayangkan pada Januari depan. Bront berkata, bagi menjayakan watak tersebut dia terpaksa memasuki kelas khas untuk melakukan ulasan tentang perlawanan bola sepak selama sebulan sebelum memulakan penggambaran. "Dalam watak ini saya perlu jadi pengulas sukan, nampak macam mudah tetapi sebenarnya ia memerlukan teknik suara yang betul. "Suara perlu keluar dari perut dan untuk watak ini saya terpaksa belajar dan ambil kelas selama sebulan sebelum penggambaran. Watak ini juga membuatkan saya berhadapan dengan masalah sakit tekak dan kehilangan suara," ujarnya. Filem arahan Chiu Keng Guan ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon baharu seperti Chee Jun Cherng, Saran Kumar, Lim Jian Wen, Muhd Luqman Hafidz dan Katrina Ho Fooi Tin.