PETALING JAYA: Pelakon cilik Puteri Balqis mengakui menghadkan kemunculannya di televisyen kerana bimbang penonton akan mula berasa bosan dengan lakonannya. Balqis atau nama sebenarnya Puteri Balqis Azizi, 9, berkata, dia berbuat demikian kerana sedar harapan tinggi yang diletakkan oleh peminat terhadapnya selepas memenangi beberapa anugerah berprestrij sebelum ini. "Kebiasaannya saya akan terima satu projek sahaja dalam satu masa kerana ingin memberikan fokus sepenuhnya dan berehat untuk beberapa bulan sebelum terima tawaran lain. "Kalau selalu keluar televisyen nanti penonton bosan dan saya mahu kemunculan saya dalam sesebuah drama itu meninggalkan impak kepada mereka," katanya kepada mStar Online. Balqis bakal muncul dengan Siri Original HBO Asia berjudul Halfworlds dan ia bakal menemui penonton di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) bermula pada 29 November depan, pukul 10 malam. Puteri Balqis lebih senang menghabiskan masa dirumah. Selain Balqis, siri lapan episod itu turut membariskan pelakon Indonesia dan Malaysia seperti Reza Rahadian, Adinia Wirasti, Aimee Saras, Alex Abbad, Ariffin Putra dan Bront Palarae. Tambah Balqis lagi dengan berbuat demikian dia juga dapat memberikan tumpuan kepada pelajarannya di sekolah selain menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. "Saya juga jarang hadir ke acara hiburan kerana lebih suka duduk di rumah dan mengulang kaji pelajaran melainkan ia melibatkan saya," ujarnya. Sementara itu, bercakap mengenai Halfworlds, Balqis berkata, dia disapa oleh pihak HBO Asia sejurus selepas dia menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik Asia di Asian Television Awards 2014 (ATA 2014) yang diadakan pada 11 Disember tahun lalu. Bagaimanapun kata Balqis, sebelum diterima berlakon dia perlu menjalani uji bakat menerusi video dan teruja apabila diberitahu diterima untuk memegang watak sebagai Tari. "Pada awalnya saya memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk diterima dan Alhamdulillah saya terpilih dan berangkat ke Jakarta, Indonesia pada Ramadan lalu untuk menjalani penggambaran. Puteri Balqis bakal bergandingan dengan Bront Palarae dan Reza Rahadian. "Biarpun bukan watak utama namun ia memberi pengalaman cukup berharga kepada saya selain dapat berlakon disamping nama-nama besar di Indonesia," katanya. Tambah Balqis, menerusi Halfworlds juga bakal memperlihatkan dia bertutur sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Dalam perkembangan lain, Balqis berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Akulah Balqis sebanyak 24 episod untuk siaran slot Akasia di TV3. Kata Balqis, dia teruja dan berdebar menanti kemunculan drama berkenaan kerana dia bakal menjadi pelakon kanak-kanak pertama menghiasi slot berkenaan sebagai watak utama. "Dalam drama berkenaan saya turut berlakon disamping Nabil Huda, Airel Zafril dan Nazim Othman dan terharu apabila saya bakal menjadi pelakon kanak-kanak pertama melakonkan watak utama menghiasi slot berkenaan," katanya. Selain itu, Balqis akan terlibat dalam filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng!