suria

Ringgit Jatuh Nyaris Ranapkan Impian Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Hamidun nyaris berputus asa bagi menyiapkan album terbaharunya gara-gara kos yang terlampau tinggi.

Hafiz, 31, berkata, album berbentuk selawat itu dibikin di Mesir dan Turki dan ia telah dirancang sejak awal tahun ini, namun kosnya berubah gara-gara nilai mata wang negara merudum.

"Sejak nilai mata wang negara semakin menurun, kos pembikinan album di Mesir dan Turki pula meningkat. Saya nyaris putus asa dan mahu menghentikan projek ini kerana keseluruhan kos mencecah hampir RM500,000.

"Tetapi apabila difikirkan balik, saya tak jadi nak hentikan hasrat itu memandangkan proses rakaman sudah pun dijalankan, sayang wang dilabur begitu sahaja.

"Saya percaya, demi mendapatkan kualiti muzik yang bagus, kita perlu berkorban dan pasti ada hikmah disebaliknya," katanya kepada mStar Online.


Hafiz Hamidun

Hafiz ditemui pada majlis pengumuman konsert Malam Kalimah Cinta di Platinum Sentral di sini pada Isnin.

Tambah Hafiz, walaupun pembikinan album boleh dilakukan sepenuhnya di negara ini, namun dia mahukan kelainan dalam muzik yang ditampilkan.

Di negara-negara Asia Barat, muzik mereka sudah jauh ke depan, ia beza dengan kita.

"Sebab itu saya sanggup berhabis wang untuk mendapatkan muzik yang terkini untuk didengar para peminat selain mahu menembus pasaran Asia Barat," ujarnya.

Mengenai konsert Malam Kalimah Cinta, Hafiz akan membuat persembahan selama dua hari iaitu pada 24 Disember dan 25 Disember depan.

Kata Hafiz dia bersyukur apabila diberi peluang mengadakan konsert solo di pentas berprestij dan akan memastikan persembahannya memuaskan hati penonton.

"Walaupun kebanyakan lagu saya berkonsep nasyid, saya akan tetap tampilkan persembahan yang penuh dengan teknologi baru.

"Selain muzik, saya juga akan menitikberatkan teknik pencahayaan, baru penonton rasa berbaloi pada malam itu. Saya mahu konsert itu menjadi satu persembahan yang membanggakan negara," tuturnya.

Selain Hafiz, penyanyi Indonesia Opick juga akan membuat konsert menerusi Malam Kalimah Cinta yang akan berlangsung pada 23 Disember ini.

Malam Kalimah Cinta menawarkan harga tiket bermula RM85, RM105, RM155, RM185, RM205 dan RM255 memuatkan bilangan 1,300 tempat duduk pada setiap malam.

Tiket boleh didapati menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai 30 Oktober 2015.
Hafiz Hamidun

Artikel Lain