suria

'Tindakan Rozana Sengaja Mahu Sabotaj Saya' - Awie

Awie sedang sibuk mengadakan persediaan untuk Konsert Wings 30 Tahun di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Awie menganggap tindakan isterinya Rozana Misbun memfailkan permohonan interim nafkah anak di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini sebagai sengaja untuk mensabotaj dan menganggu tumpuannya terhadap Konsert Wings 30 Tahun yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 31 Oktober ini.

Awie atau Ahmad Azhar Othman, 46, berkata, dia terkejut apabila mendapat surat daripada pihak peguam wanita berkenaan yang memintanya hadir ke mahkamah pada Khamis lalu untuk sebutan pertama kes berkenaan.

"Pada saya tindakannya secara mengejut menghantar surat tentang prosiding permohonan nafkah interim anak sengaja mahu menggangu perhatian saya terhadap konsert pada Sabtu ini.

"Dia bukan tidak tahu pada saat ini saya sibuk dengan latihan menjelang konsert yang berbaki dua hari lagi dan ini cubaan dia untuk menjahanamkan saya," katanya.

Terdahulu, Awie menerusi peguamnya, Mohd Syafiq Norizan akan mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan isterinya selaku pemohon yang memfailkan tersebut di mahkamah pada 21 Oktober lalu.

Rozana dalam tuntutannya meminta responden iaitu Awie membayar wang nafkah bulanan, perayaan, tempat tinggal, persekolahan dan kos pembantu rumah untuk dua anak mereka iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5 yang kini dibawah jagaannya.

Rozana Misbun.

Manakala anak sulung pasangan itu Putra Ahmad Merah, 8 tinggal bersama Awie.

Dalam pada itu, Awie turut mempertikaikan kegagalan wanita berkenaan hadir di mahkamah dan melihat Rozana tidak serius dalam tuntutan yang dibuat terhadapnya.

"Jika dia benar-benar ingin mempertahankan hak anak-anak sepatutnya dia hadir ke mahkamah tetapi apa yang saya lihat dia tidak serius dan cuba lari dari kenyataan.

"Dia tidak ada hati pun sebenarnya hendak mendapatkan anak-anak cuma mahu menggangu karier saya sahaja," ujarnya.

Mengulas mengenai tuntutan dibuat Rozana, Awie menganggap ia mengarut malah wanita berkenaan tidak mengemukakan alasan jelas dalam permohonannya.

Sementara itu, Awie berkata, sehingga hari ini dia tidak pernah bertemu dengan dua anaknya biarpun mahkamah telah mengeluarkan hak lawatan kepadanya.

Bagaimanapun kata Awie, sebagai bapa dia amat merindukan anak-anaknya dan tetap akan berjuang demi mendapat hak penjagaan mereka.

"Hak lawatan di rumah wanita berkenaan dan saya takut dan fobia untuk ke sana memandangkan dengan 'kejadian' yang pernah berlaku kepada saya sebelum ini.

"Sudah tentu saya rindukan mereka kerana hubungan kami sangat akrab namun saya perlu kuat menempuh dugaan ini kerana akan tiba hari kemenangan kepada saya suatu hari nanti," jelasnya.

Artikel Lain