PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Ziana Zain belum bersedia untuk tampil dengan koleksi pakaiannya sendiri meskipun mendapat banyak permintaan daripada peminatnya. Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 47, berkata, sebelum tampil dengan sesuatu produk dia ingin mendalami dunia fesyen dan mengutip ilmu perniagaan terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesuatu produk. "Saya boleh keluarkan produk atau jenama pakaian sendiri jika saya mahu tetapi saya enggan melakukannya hanya sekadar 'melepaskan batuk ditangga' kerana ia tidak akan berjaya. "Bidang perniagaan memerlukan ilmu dan strategi yang betul kerana tanpa perkara itu rasanya usaha saya nanti akan jadi sia-sia," katanya kepada mStar Online. Ziana bersama pemilik Zatu Emerald, Datuk Nurol Huda Ma'son dan barisan model memperagakan koleksi Zayyen Ziana Zain by Zatu Emerald. Ziana berkata demikian selepas ditemui pada pelancaran Zayyen Ziana Zain By Zatu Emerald di Flora Terrace dekat sini, Jumaat lalu. Kolaborasi itu memperlihatkan Ziana bersama pemilik Zatu Emerald, Datuk Nurol Huda Ma'son berkolaborasi menerusi 12 koleksi pakaian wanita yang direka khas untuk pelbagai golongan dan peringkat umur pada harga berpatutan. Dalam pada itu, Ziana berkata, dia terharu apabila dipelawa oleh pihak Zatu Emerald untuk berkerjasam dalam projek berkenaan kerana sejak dahulu dia memang meminati dunia fesyen. Malah kata Ziana, dia teruja apabila diberi peluang untuk mereka pakaian tersebut dengan bantuan pereka dalaman jenama berkenaan dan menganggap ia satu proses pembelajaran untuknya. "Saya banyak dapat input menerusi kerjasama ini terutamanya tentang pemilihan fabrik selain strategi pemasaran produk. Ia amat berguna kepada saya sekiranya ingin tampil dengan produk sendiri pada masa hadapan. Ziana bakal muncul dengan album baharu pada tahun hadapan. "Bukan mudah sebenarnya kerana dalam perniagaan kita perlukan pasukan yang benar-benar cekap dalam merialisasikan objektif kita," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Ziana berkata, dia kini sedang dalam proses mengumpul material untuk single dan album terbaharunya yang dijangka akan berada di pasaran pada tahun hadapan. Malah kata Ziana, dia terbuka sekiranya ada komposer yang ingin menyumbangkan lagu untuk projek berkenaan tidak kira yang berpengalaman atau pun masih baharu. "Saya tahu sudah begitu lama tidak muncul dengan sebarang lagu baharu atau album dan Insya-Allah saya akan muncul dengan buah tangan terbaharu pada tahun hadapan. "Buat masa ini saya masih memilih lagu yang sesuai malah terbuka sekiranya ada komposer yang ingin menyumbangkan lagu untuk album itu nanti," jelasnya.