PETALING JAYA: Kakak kepada pelakon dan pengacara Neelofa iaitu Noor Nabila menegaskan dia bukanlah mahu 'syok sendiri' apabila memuat naik foto-foto mesranya dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Noor Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Md.Noor, 30, berkata, hubungan istimewa yang terjalin dengan aktor itu sejak lima bulan lalu adalah atas rasa keikhlasan kedua-dua belah pihak. "Saya sedar bila saya muat naik gambar kami bersama ramai pengikut laman sosial menyifatkan saya hanya syok sendiri sedangkan hubungan istimewa yang terjalin antara kami adalah lahir secara ikhlas. "Saya pernah beritahu dia kalau ada wartawan bertanya tentang hubungan ini, saya akan berterus terang dan tidak mahu orang beranggapan saya hanya syok sendiri," ujarnya kepada mStar Online. Noor Nabila tidak mahu orang ramai menuduhkan hanya syok sendiri bercinta dengan Sharnaaz. Foto ihsan Instgram Noor Nabila. Noor Nabila ditemui di ibu pejabat Naelofar Hijab, Taman Tun Dr Ismail dekat sini pada Isnin. Dia diminta mengulas tentang hubungan istimewa dengan pelakon Sharnaaz Ahmad yang sering dipaparkan menerusi foto-foto mesra mereka di laman sosial. Bagaimanapun dia memahami situasi aktor tersebut yang enggan mendedahkan hubungan percintaan mereka kepada umum bagi menjaga maruah keluarga. "Saya faham kenapa dia tidak mahu bercakap tentang hubungan kami kerana dia sudah serik dan tidak mahu jadi seperti hubungan sebelum ini. "Sharnaaz tidak mahu keluarga menanggung malu kalau hubungan tersebut tidak menjadi," ujarnya. Selain itu ditanya tentang fasa seterusnya hubungan tersebut iaitu mendirikan rumah tangga, Noor Nabila berkata, mereka belum mempunyai perancangan ke arah itu. "Dia dah berjumpa semua ahli keluarga saya termasuk nenek saya dan saya sudah berjumpa dengan ibu, bapa dan abang dia, namun belum ahli keluarga lain. "Buat masa ini kami belum ada perancangan ke peringkat seterusnya, Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin saya akan berjumpa seluruh keluarga dia," ujarnya. Dalam pada itu, Noor Nabila turut menafikan dia adalah orang ketiga yang menjadi punca pelakon tersebut berpisah dengan kekasih terdahulu iaitu Anis Al Idrus. Noor Nabila mula mendekati pelakon tersebut selepas hubungan percintaan pasangan berkenaan tidak dapat diselamatkan. "Kami bermula sebagai kawan bisnes dan sering bercerita tentang peribadi dan dari situ saya tahu dia baru sahaja berpisah dengan pelakon wanita itu. "Dia juga banyak cerita masalah yang dihadapi dalam hubungan tersebut, bagi saya ia perkara biasa, sedangkan berkahwin pun boleh bercerai inikan bercinta," katanya. Sementara itu, Noor Nabila mengakui terkilan apabila statusnya sebagai seorang janda dipersoalkan oleh segelintir masyarakat. Dia pernah berkahwin pada Julai 2013, namun berpisah sejak setahun lalu. "Saya faham bila hubungan kami jadi perhatian, status saya sebagai janda juga dipersoalkan segelintir pihak, namun bukan saya yang minta untuk jadi janda, ia semua takdir Allah. Bercerita tentang, aktor tersebut, Noor Nabila berkata, Sharnaaz mempunyai sifat seorang lelaki yang diimpikan iaitu pemaaf dan penyayang. Noor Nabila berkata sepanjang perkenalannya dengan aktor tersebut, Sharnaaz tidak menunjukkan sikap panas baran seperti yang diperkatakan segelintir pihak. "Dia memang suka marah tapi dia marah bersebab, selalu dia marah kalau kekasih dia tidak ikut apa yang mahu contohnya dia mahu wanita yang berpakaian menutup aurat, sopan, dan kalau boleh bertudung. "Dia akan marah kalau saya pakai baju singkat, tapi sebagai perempuan kalau dia marah kita terima dan cuba pujuk balik, tidak susah pun," ujarnya.