suria

Faizal Tahir Cipta Lagu 'Sayang' Ketika Anak Terkena Demam Virus

Faizal Tahir
PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir berkata lagu baharu berjudul Sayang adalah berkisar tentang pengalaman yang dilalui ketika anak perempuannya Siti Rawdha Nur Jannah, 4, mengalami demam virus beberapa bulan lalu.

Faizal, 37, berkata, dia mendapat inspirasi tersebut bagi berkongsi perasaan ketika melihat kesakitan yang ditanggung oleh anaknya selama empat hari ditahan di sebuah pusat perubatan, dekat sini.

"Saya menulis lagu ini beberapa bulan yang lepas ketika anak perempuan saya dimasukkan ke hospital kerana demam virus yang sangat teruk.

"Dia dimasukkan ke wad selama empat hari. Ia adalah satu pengalaman yang sangat menyedihkan apabila melihat dia begitu sakit. Setiap malam saya akan beritahu dia untuk menjadi kuat dan memujuknya untuk tidur supaya esok dia akan berasa lebih baik," ujarnya kepada mStar Online.

Sementara itu kata Faizal, dia mengambil keputusan untuk melancarkan single tersebut selepas isterinya Siti Raihanim Noran melahirkan anak keenam mereka yang diberi nama Khalid Al-Walid Ahmad Faizal pada 25 Oktober lalu.

Faizal juga menganggap lagu ini mempunyai nilai sentimental yang amat kuat pada dirinya.

"Saya benar-benar tidak merancang ini akan berlaku sama sekali dan tidak menyangka isteri saya melahirkan cahaya mata kami yang terbaru pada masa yang sama lagu ini disiapkan.

"Secara jujurnya saya tidak mempercayai kepada suatu kebetulan, saya hanya percaya kepada tuhan yang mempunyai rancangan sendiri" ujarnya.

Sementara itu, Faizal berkata, bait-bait lirik yang ditulis di dalam lagu Sayang ini juga menggambarkan betapa dalam perasaan cinta terhadap anak-anaknya.

Faizal berkahwin dengan Siti Raihanim Noran, lebih 10 tahun lalu dan dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Mikaeel Zidane, 10, Siti Raudhah Nur Iman, 8, Ahmad Rifa’ie Zidane, 7, Siti Rawdha Nur Jannah, 4, Siti Nawar Malaeka, 2, dan Khalid Al-Walid yang berusia 2 minggu.

Faizal Tahir

Artikel Lain