PETALING JAYA: Pelakon dan penyair Pyanhabib menganggap tindakan pihak produski tidak memberi kredit terhadap puisi ciptaannya dalam telefilem yang memenangi Drama Terbaik, Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) iaitu Lorong Kecil Ke Syurga sebagai tidak wajar. Pyanhabib, 57, berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku berikutan karya itu adalah hasil hak cipta yang perlu dilindungi serta salah satu sumber pendapatanya. "Dalam telefilem tersebut terdapat tiga atau empat puisi milik saya yang saya bacakan tetapi tidak diberi kredit sebagai pemilik puisi itu. "Kecuaian ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia adalah karya dan hak cipta saya," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Pyanhabib, perkara tersebut sudah diberitahu berkali-kali ketika penggambaran agar pihak berkenaan mengambil berat hal tersebut, namun mereka tidak mengendahkannya. Perbuatan itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada penonton yang menganggap apa yang dibacanya adalah skrip yang ditulis untuk drama berkenaan. "Saya tidak mahu ada yang salah tanggap terhadap puisi tersebut dengan memikirkan ia ditulis oleh penulis skrip drama. "Ya, sebelum ini memang ada puisi saya digunakan dalam beberapa filem lakonan saya, tetapi penonton tahu kerana saya membawa watak sendiri. Bagi drama ini saya bawa watak berbeza," ujarnya. Sementara itu, ketika ditanya namanya dipanggil oleh produser drama tersebut ketika mengambil anugerah drama terbaik, Pyanhabib berkata dia tidak dijemput ke anugerah berprestij itu. Bagaimanapun dia tidak berkecil hati berikutan sememangnya dia tidak gemar muncul di majlis-majlis anugerah. "Saya tahu nama saya dipanggil ketika mereka menang selepas diberitahu oleh isteri saya, saya tidak hadir majlis itu kerana tidak ada undangan. "Namun perkara itu tidak mengecilkan hati saya kerana jika mereka undang sekalipun saya belum tentu hadir. Saya seorang yang tidak gemar ke majlis seperti itu," ujarnya. Drama terbitan Aniq Communication Sdn Bhd berjudul Lorong Kecil Ke Syurga diangkat sebagai Drama Terbaik, Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam Ahad lalu. Drama tersebut turut menggondol anugerah bagi Pengarah Terbaik Drama (Raja Mukhriz), Penyunting Terbaik Drama (Akashdeep Singh), Lakon TV Terbaik (Joe Sidek) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Raja Ilya).