PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Abam (Bocey) tidak berbelanja secara boros wang hasil pendapatannya sejak bergelar artis bagi mengutamakan kepentingan ibunya terlebih dahulu. Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 27, berkata, setakat ini wang berkenaan digunakan untuk memperbaiki dan membesarkan rumah kediaman ibunya. "Saya masih pakai kereta Myvi lama saya dan tiada niat lagi untuk menukar kereta kerana duit pendapatan saya kumpul untuk besarkan rumah ibu saya. "Selain itu, saya sedang kumpul lagi untuk hantar dia mengerjakan umrah dan haji terlebih dahulu, kemudian barulah saya fikir untuk beli kereta atau lain-lain," ujarnya kepada mStar Online. Abam ditemui pada majlis tayangan media filem Ada Apa Dekat Bus Stop di e@Curve di sini, malam Khamis. Dalam pada itu, ditanya tentang peluang yang diterimanya dalam dunua hiburan lebih menonjol berbanding dua ahli kumpulan Bocey yang lain iaitu Fad dan Achey, katanya ia adalah rezeki masing-masing. Kata Abam, dia akan memberitahu dan berbincang tentang tawaran-tawaran yang diterima secara individu kepada ahli kumpulan yang lain. "Bagi saya kami masing-masing ada tawaran lain secara persorangan bukan saya sahaja, jadi selalunya kami akan berbincang dahulu agar tidak bertembung dengan jadual persembahan kami bersama. "Setakat ini tiada yang berkecil hati tentang siapa banyak atau siapa sikit tawaran," ujarnya. Salah satu babak dalam filem Ada Apa Dekat Bus Stop. Sementara itu, ditanya tentang jodoh, Abam mengakui kini sudah mempunyai wanita istimewa, namun ia masih di peringkat mengenali antara satu sama lain. Katanya, hubungan tersebut masih awal dan belum masanya untuk didedahkan kepada umum. "Saya ada mengenali seorang wanita dan hubungan itu masih baru. Kalau mak saya setuju saya okey sahaja," ujarnya. Bercerita tentang wataknya dalam filem Ada Apa Dekat Bus Stop, Abam berkata ia kali pertama membawakan watak bukan komedi. Watak tersebut lebih mudah berbanding membuat persembahan lawak di pentas. "Watak saya sebagai Abam agak berbeza kerana saya tidak buat lawak dan boleh dikatakan watak serius cuma filem ini yang komedi. "Alhamdulillah, bagi saya ia lebih mudah berbanding buat lawak di atas pentas," ujarnya. Selain itu, Abam berkata, pengalaman manis membawakan watak tersebut apabila dia dapat belajar memandu bas. "Watak saya ialah pemandu bas dan ini kali pertama saya bawa bas sendiri, memang tidak pernah sangka saya dapat bawa bas yang besar itu," ujarnya. Filem Ada Apa Dekat Bus Stop merupakan sebuah filem komedi paranormal mengisahkan tentang tiga pemuda yang menjadi sahabat apabila cuba merungkaikan misteri di perhentian bas kampung mereka. Semenjak hentian bas lama kampung tersebut dipinggirkan, ia telah menjadi tempat berlakunya aktiviti-aktiviti negatif dan songsang, akan tetapi semenjak ‘kehadiran’ hantu Kak Senah keadaan telah banyak berubah. Filem sentuhan Ikhzal Azrafil Ideris itu bakal ditayangkan pada 19 November ini.