PETALING JAYA: Pelakon Nad Zainal akan mengumumkan sendiri tarikh perkahwinannya selepas kata sepakat mengenai perkara itu dicapai bersama kekasih. Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 25, bagaimanapun enggan memberi komen laporan media kononnya dia bakal berkahwin pada 18 Disember depan. "Saya akan mengumumkan kepada semua sekiranya ia sudah disahkan. Perancangan itu ada, cuma saya suka perkara baik seperti ini diberitahu sendiri, bukan daripada pihak lain. Apa-apapun, saya tidak mahu komen lebih lanjut," katanya yang dihubungi mStar Online pada Ahad. Nad kini sedang menjalani penggambaran di Itali bagi drama berepisod Gondola Cinta Di Venice bersama aktor Azeril Ismail bagi siaran RTM. Pada Ahad, sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan Nad bakal mendirikan rumah tangga pada 18 Disember depan. Menurut laporan berkenaan, Nad sudah pun menempah dewan di Bukit Jelutong, Shah Alam dekat sini. Sementara itu, kata Nad, dia begitu sibuk dengan kerja-kerja lakonannya di mana pada minggu hadapan, aktres itu bakal terlibat dengan penggambaran telefilem Gulai Kawah Empulur Pisang. Dia juga cukup teruja kerana akan berbahasa dalam dialek negeri Kelantan bersama gandingannya, Asrulfaizal Kamaruzaman. "Telefilem ini antara yang ditunggu-tunggu kerana saya dapat bekerjasama dengan pelakon kegemaran saya, Asrulfaizal, yang pernah membintangi filem Budak Kelantan. "Saya pun perlu berdialek Kelantan, dan ia satu kerja yang mencabar. Setakat ini saya sudah mula berlatih bercakap Kelantan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nad juga bakal muncul menerusi filem baharu, Haus Darahmu yang akan ditayangkan pada tahun hadapan.