suria

Diana Rafar & Zamarul Lebih Romantik Sejak Rujuk Semula

Zamarul dan diana kini lebih romantik.

PETALING JAYA: Pelakon Diana Rafar berkata perhubungannya dengan suami semakin romantik, lebih-lebih lagi selepas melalui ujian hampir bercerai pada awal Januari 2015.

Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar, 33, berkata, malah mereka sukar berjauhan dan ingin melakukan setiap perkara bersama-sama.

"Alhamdulillah, kami lebih romantik. Rasa macam baru kahwin pula. Pendek kata, rasa tak boleh kehilangan.

"Apa yang telah terjadi mengajar kami banyak perkara untuk menjadi lebih matang dan berfikiran positif," katanya kepada mStar Online.

Pada 14 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Zamarul telah membuat lafaz rujuk terhadap isterinya, Diana kira-kira sebulan selepas mereka bercerai.

Sementara itu, kata Diana, kunci kekal bahagia dalam sesebuah rumah tangga pula adalah saling jujur dan mempercayai antara satu sama lain.

Kata adik kepada penyanyi Linda Rafar, perkara itu amatlah penting lebih-lebih lagi bagi pasangan yang sibuk dengan kerja di luar.

"Zaman sekarang ini, baik suami mahupun isteri, masing-masing sibuk dengan kerja. Jadi kepercayaan dan kejujuran sangat penting.

"Alhamdulillah, apa yang telah berlaku sebelum ini (cerai dan kemudiannya rujuk) telah membuka mata saya dan suami, Zamarul Hisham untuk menjadi lebih baik dan terbuka," ujarnya.

Tambah Diana perubahan ketara pada dirinya dapat dilihat terutama daripada segi emosi di mana dia kini lebih tenang dan mampu mengatasi  masalah dengan tenang.

"Setiap ujian yang datang, jangan kita cepat melatah. Sebaliknya perlu muhasabah diri dan lihat apa kesalahan kita pula.

"Alhamdulillah, saya dah tak macam dulu yang terlalu beremosi. Sekarang ini saya lebih matang dan tidak mudah terasa," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul sebuah lagu baharu berjudul Tak Ku Mampu, ciptaan Hairul Anuar Harun.

Zamarul dan Diana berkahwin pada 16 Mei 2009 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu kashlif Haiqal yang kini berusia 5 tahun.

Sebelum perkahwinan itu Zamarul merupakan seorang duda.

Diana Rafar

Artikel Berikut

Artikel Lain