PETALING JAYA: Kumpulan Iamneeta tidak terlalu taksub mengejar populariti sebagai artis sebaliknya ingin memberi fokus kepada cinta mereka terhadap bidang muzik. Vokalisnya, Neeta Manisha, 21, bagaimanapun tidak menafikan populariti itu penting bagi seseorang artis namun ia perlu seiring dengan karya ditampilkan kepada peminat. "Populariti itu memang penting untuk pembangunan karier seseorang artis namun bagi Iamneeta kami tidak mahu terlalu memberi tumpuan kepada perkara itu. Sebaliknya jika karya yang kami hasilkan dapat diterima peminat, populariti itu akan datang dengan sendiri," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Menara Star di sini, Selasa. Iamneeta tidak terlalu memikirkan soal populariti dan mahu fokus terhadap muzik. Iamneeta baharu sahaja tampil dengan single terbaharu berjudul Satu Dunia (Hey Hey Hey). Selain Neeta, band berkenaan turut dianggotai oleh Anas Zakwan atau Anas, 22, (pemain bes) dan Patrick Anohada atau Patrick, 29, (pemain gitar utama). Dalam pada itu, Neeta berkata, meskipun nama Iamneeta itu belum setanding dengan kumpulan sedia ada namun mereka bersyukur usaha selama tiga tahun untuk menempa nama semakin berhasil. Kata Neeta, sebelum ini kerjaya mereka agak perlahan disebabkan dia dan Anas masih terikat dengan komitmen pelajaran di universiti. Ketiga-tiga mereka optimis dengan perjuangan mereka dalam industri muzik. "Kami bangga dan selesa dengan pencapaian Iamneeta setakat ini malah sokongan daripada peminat di laman sosial membuatkan kami terus bersemangat untuk menghasilkan karya lebih baik. "Kami berdua baharu sahaja selesai dengan pengajian kami di universiti dan selepas ini kami akan berikan tumpuan kepada promosi Satu Dunia," katanya. Sementara itu, bercakap mengenai Satu Dunia (Hey Hey Hey), Patrick berkata, lagu berkenaan adalah ciptaannya dan ia berbeza daripada single yang pernah dilancarkan kumpulan itu sebelum ini. Iamneeta bakal muncul dengan album penuh pada awal tahun hadapan. Jelas Patrick, lagu berkenaan ditulis dengan bertemakan untuk memberi inspirasi kepada pendengar agar tidak berputus asa dalam melakukan sesuatu. "Sebelum ini kami tampil dengan lagu cinta tetapi untuk Satu Dunia kami tampilkan perbezaan dengan menghasilkan sebuah lagu untuk memberi inspirasi kepada pendengar. "Lagu ini bakal dimuatkan dalam album pertama kami bersama lima single yang telah dilancarkan sebelum ini dan kami menjangkakan ia akan berada di pasaran pada awal tahun hadapan," katanya.