PETALING JAYA: Astro Oasis menjelaskan jurang perbezaan hadiah wang tunai yang diberikan kepada Juara Pencetus Ummah musim Ketiga dengan tiga peserta lain bukan disebabkan kekurangan penaja bagi program tersebut. Pengurus Salurannya, Fuad Mat Ali berkata, perkara itu berikutan pihaknya menggunakan kos tersebut dalam bentuk penyediaan beberapa program televisyan kepada kesemua peserta akhir itu selama tiga bulan. "Penerbitan Pencetus Ummah bukan kerana hadiah-hadiah yang disediakan. Dari awal kami hanya mencari seorang pemenang sahaja. "Jurang perbezaan hadiah antara juara dan peserta lain berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini adalah disebabkan pihak kami sudah merangka program untuk kesemua peserta dalam tempoh tiga bulan selepas program ini tamat," ujarnya kepada mStar Online. Beliau diminta mengulas tentang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 kepada juara program tersebut iaitu Syed Mohd Bakri Syed Ishak. Manakala, tiga peserta tempat kedua, ketiga dan keempat iaitu Taha, Zaid dan Amin hanya membawa pulang RM10,000 setiap seorang beserta trofi sumbangan Astro. Pencetus Ummah musim ketiga peringkat akhir bersiaran secara langsung di Dewan Konvensyen, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), di sini malam Khamis. Sementara itu, juaranya Syed Mohd Bakri, 33, tidak menyangka dipilih sebagai pemenang pada malam tersebut. Katanya, kebolehan dia menjawab soalan dengan tepat yang diberikan juri merupakan salah satu sebab dia mendapat markah tertinggi berbanding peserta lain. "Saya tidak menjangkakan akan menjuarai program ini kerana kalau diikut peserta lain seperti Taha dan Amin lebih ramai peminat. "Namun, mungkin jawapan yang saya berikan ketika ditanya juri membuatkan markah saya lebih tinggi," ujarnya. Syed yang juga seorang guru bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan Dato' Ahmad Said di Perak ini memberitahu akan cuba membahagikan masa antara kerjaya dan tugas baharunya selepas ini. Dia juga tidak mempunyai masalah berikutan ketika ini dalam tempoh bercuti bagi menyambung pengajian di peringkan Sarjana sehingga tahun 2017. "Saya seorang guru bahasa Arab, namun sekarang sedang cuti belajar hingga tahun 2017. "Saya perlu bahagi masa belajar dengan komitmen baru iaitu kontrak dengan pihak Astro," ujarnya. Dalam pada itu, Syed berkata sepanjang tujuh minggu dalam program ini, dia dapat menambah keyakinan diri untuk bercakap di hadapan penonton. Katanya, perkara tersebut merupakan masalah utama biarpun sudah biasa berhadapan dengan pelajar. "Program ini membina keyakinan saya untuk bercakap dan melihat muka penonton. Walaupun saya guru tapi keyakinan saya untuk bercakap masih kurang, dalam program ini mereka beri tip untuk kita bercakap di depan kamera dan orang ramai," ujarnya. Ditanya tentang wang kemenangan tersebut, Syed berkata, dia akan menggunakannya dengan sebaik mungkin. Dia juga berhajat untuk membantu membaiki rumah kediaman agar lebih selesa. Pada pertandingan akhir itu Syed Mohd Bakri memilih tajuk Masjid Mengapa Kau Dipinggirkan dan Malam Pertama Di Barzakh.