suria

Akim Ahmad Cipta Lagu Tentang Kisah Cinta Dengan Stacy

Akim Ahmad cipta lagu berjudul Romeo untuk Stacy.
SHAH ALAM: Penyanyi Akim Ahmad memberitahu dia mencipta sebuah lagu khas buat tunangnya penyanyi Stacy, 25, untuk album keempat wanita itu.

Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 24, lagu berjudul Romeo itu adalah kisah percintaan yang dilalui oleh mereka sepanjang enam tahun bersama.

"Saya buat lagu untuk Stacy berjudul Romeo yang mana pada fikiran saya Juliet yang menyanyikan lagu tersebut. Sedikit sebanyak ada kena mengena dengan kisah percintaan yang kami lalui selama enam tahun ini.

"Lagu tersebut akan dimuatkan dalam album keempat Stacy yang bakal diterbitkan tidak lama lagi," ujarnya kepada mStar Online.

Akim ditemui pada Separuh Akhir Muzik Muzik 30 yang berlangsung di Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam Ahad.

Dalam pada itu, Akim berkata, agak sukar untuk menghasilkan sebuah lagu yang sesuai dinyanyikan oleh tunangnya itu berikutan lagu-lagu nyanyian Stacy dihasilkan komposer terkenal.

"Susah juga nak hasilkan sebuah lagu yang sesuai untuk dia kerana Stacy genre yang berbeza, dia juga sudah ada satu tahap tertentu.

"Dia sudah letak benchmark seperti lagu Not For Sale yang dinanyikannya tadi, lagi pula komposer yang cipta lagu dia kebanyakkannya sudah terkenal," ujarnya.

Sementara itu, pada pertandingan Separuh Akhir Muzik Muzik 30 minggu kedua itu, lagu ciptaanya berjudul Potret berjaya dipilih sebagai lagu terbaik minggu tersebut.

Tambah Akim, dia yakin sudah melakukan persembahan terbaik dan berharap agar lagu tersebut layak ke Anugerah Juara Lagu 30.

"Saya memang berharap sangat dapat ke Anugerah Juara Lagu 30 kerana tahun ini kerana tahun ini adalah kali ke 30 dan sangat bermakna.

"Pada awal memang agak gementar kerana saya takut persembahan saya tidak seperti diharapkan seperti tahun lalu, tapi nasib baik juga Stacy ada dan banyak tenangkan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang penggunaan nama Hang Nadim sebagai komposer lagu tersebut, Akim berkata ia adalah nama pena untuk semua lagu ciptaannya.

Katanya, dia tidak mahu nama Akim Ahmad menganggu fikiran orang yang mendengar karya-karya ciptaannya.

"Saya nak dikenali dengan nama Hang Nadim sebagai komposer lagu. Saya tidak mahu nama Akim Ahmad membuatkan saya egois di atas pentas," ujarnya.

Antara lagu lain yang turut berentap pada malam tersebut ialah Hanya Namamu (Caliph Buskers), Malam Ini Kita Punya (Bunkface), Not For Sale (Stacy), Hey Kau (Sandra), Syurga (Alyah), Angin Kencang (Noh Salleh), #Peristiwa (Sofaz), Senyum (Aziz Harun), dan Mana Mungkin (Black).

Keputusan 12 buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 30 akan diumumkan pada minggu ketiga iaitu 6 Disember depan.
Akim Ahmad

Artikel Lain