suria

Pemenang 'I Want To Be A Filmmaker' Dapat Biasiswa RM100,000

Para peserta yang akan menyertai rancangan realiti 'I Want To Be A Filmmaker' - Foto: Rohaizat Darus
KUALA LUMPUR: Saluran televisyen internet iaitu HyppTV bakal muncul dengan program realiti pencarian bakat baharu mengenai pembikinan filem tempatan iaitu I Want To Be A Filmmaker.

Menurut Naib Presiden Perniagaan dan Operasi Media, New Media, TM, Emily Wee, program pertandingan berbentuk perfileman sudah lama tidak tidak dan dalam usaha mencari bakat muda yang mempunyai idea-idea segar dalam penghasilan filem, maka program realiti tersebut dicetuskan.

"Setiap tahun, industri perfileman tempatan semakin berkembang dan kita perlukan idea-idea yang lebih segar untuk mengukuhkan lagi industri.

"Sehingga kini, 12 finalis dipilih dan mereka sudahpun menjalani rakaman I Want To Be A Filmmaker," katanya kepada mStar Online.

Emily ditemui pada majlis memperkenalkan rancangan I Want To Be A Filmmaker di GSC Signature The Gardens di sini pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah, YTM, Datuk Sharif Zaimi Abu Hashim.

Pemenang pertandingan tersebut akan mendapat biasiswa pengajian daripada Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bernilai RM100,000.

Peserta dan mereka yang terlibat dalam 'I Want To Be A Filmmaker'.

Pemenang juga akan didaftar dalam program Ijazah Sarjana Muda Seni Perfileman (CAP) di Universiti Multimedia (MMU) selama tiga tahun di kampus Nusajaya, Johor.

Program tersebut turut menampilkan jurinya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo dan penerbit filem Raja Azmi manakala pengacara adalah Julia Farhanaarin dan Hafiz Bahari.

Sementara itu, David berkata, I Want To Be A Filmmaker merupakan platform untuk mencari pelapis baharu yang dilihat semakin berkurangan dalam industri perfileman tempatan.

"Saya kagum melihat barisan peserta yang bersungguh-sungguh melontarkan idea bagi menjayakan sesebuah karya yang dihasilkan.

"Semua peserta menunjukkan kamampuan luar biasa dan mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran dunia penyiaran sebenar," ujarnya.

Dengan kerjasama syarikat penerbitan Mangkin Prestij Sdn Bhd, ia bakal disiarkan pada setiap Rabu bermula 16 Disember ini pukul 10 malam.
Hypp TV

Artikel Lain