suria

Lakonan Kurang Menyerlah, Syarul Ridzwan Minta Diberi Peluang

Syarul menerima kritikan lakonannya sebagai Putera Raja kurang menyerlah menerusi teater Bawang Putih Bawang Merah.
PETALING JAYA: Pelakon Syarul Ridzwan tidak berkecil hati apabila watak Putera Raja yang dipegangnya menerusi teater Bawang Putih Bawang Merah dikatakan kurang menyerlah.

Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, sebagai seorang pendatang baharu dalam bidang pementasan teater dia akui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selain menganggap teguran tersebut sebagai membina.

"Secara jujurnya saya tidak berfikir panjang apabila ditawarkan berlakon dalam teater ini kerana saya tahu ini adalah medium terbaik untuk saya mengasah bakat lakonan.

"Sebenarnya pandangan setiap individu berbeza tetapi saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak Putera Raja dan mengambil teguran itu untuk memperbaiki mutu lakonan saya," katanya.

Teater Bawang Putih Bawang Merah diarahkan oleh Erma Fatima turut menampilkan barisan pelakon seperti Ogy Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud, Juliana Evans, Fathia Latiff, Beto Kusyairi, Nabila Huda, Ungku Ismail dan Dafi.

Ia sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 8 Disember (hari ini).

Dalam pada itu, Syarul berkata, sepanjang menjalani sesi latihan, dia bersyukur kerana dikelilingi oleh barisan pelakon yang mempunyai banyak pengalaman dalam bidang teater untuk membantunya menjiwai watak tersebut.

Syarul bergandingan dengan Fathia Latiff dan Juliana Evans menerusi teater berkenaan.

Jelas Syarul, setiap kali latihan dia akan mengambil peluang untuk melontarkan pertanyaan kepada pengarah dan pelakon seperti Ogy Ahmad Daud bagi memastikan lakonannya berada dilandasan betul.

"Rasanya sayalah yang paling banyak bertanya kerana saya tidak pernah berpuas hati dengan mutu lakonan saya.

"Seperti kritikan lakonan saya kurang menyerlah saya akan bertanya lagi kepada pengarah dan rakan-rakan pelakon apa yang boleh saya lakukan untuk memperbaiki persembahan.

"Alhamdulillah mereka semua banyak membantu dan tidak lokek ilmu," jelasnya.

Tambah Syarul, kritikan tidak akan melemahkan semangat dia sebaliknya akan terus mencuba berlakon di pentas teater pada masa hadapan sekiranya diberi peluang.

Sementara itu, Erma pula berkata, sebagai pengarah dia berpuas hati dengan pencapaian Syarul meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. 

Jelas Erma, medium teater adalah pentas paling baik untuk pelakon baharu mengasah bakat lakonan malah sebagai pengarah dia ingin memberi peluang kepada bakat-bakat baharu.

"Pelakon seperti Syarul adalah pelapis untuk masa hadapan dan sebagai pengarah saya perlu beri ruang dan peluang kepadanya untuk membuat kesalahan selain menimba ilmu daripada kesilapan dilakukan.

"Syarul mempunyai bakat besar mungkin memerlukan lebih lagi pendedahan dan saya percaya dia akan menjadi pelakon lebih baik pada masa hadapan," ujarnya.

Jelas Erma lagi, dia turut berbangga dengan sikap Syarul dan barisan pelakon Bawang Putih Bawang Merah kerana biarpun mereka kurang pengalaman di pentas teater namun sikap bersungguh-sungguh dalam menzahirkan peranan diberikan membuktikan mereka wajar diberi perhatian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain