suria

Sambutan Luar Biasa, Tiket Tonton Gegar Vaganza RM1,000 Habis

Gegar Vaganza 2 bakal melabuhkan tirai menerusi konsert terakhir pada Ahad ini.
PETALING JAYA: Tiket bagi menyaksikan pertandingan akhir program Gegar Vangaza 2 pada Ahad ini yang berharga RM1,000 habis dijual walaupun ia agak mahal setaraf konsert artis antarabangsa.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, selain tiket VIP bernilai RM1,000 itu, tiket-tiket lain iaitu pada harga RM380 dan RM300 juga sudah habis sejak ia dijual untuk pembelian pada 6 Disember lalu.

"Alhamdulillah sambutan luar biasa daripada penonton untuk musim kedua ini cukup luar biasa dan ia terbukti apabila jualan tiket menyaksikan peringkat akhir itu habis dijual.

"Walaupun ada rungutan diterima berhubung harga tiket namun pihak Astro akan menyajikan persembahan eksklusif untuk penonton yang hadir di pada siaran langsung acara itu nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Tiket berharga RM250 dan RM200 bagaimanapun masih dibuka untuk pembelian.

Sebelum ini penyanyi Anuar Zain pernah mengenakan caj tiket bagi menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha pada April lalu pada harga RM1,380.

Konsert akhir Gegar Vaganza 2 bakal diadakan di Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam dekat sini pada Ahad ini dan akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria pada pukul 9 malam.

Raqim Ahmad Ramli. 

Tambah Raqim, walaupun harga tiket dikenakan agak tinggi namun setiap pembelian menerusi kesemua kategori tiket turut disertakan dengan beberapa hadiah sampingan seperti baju T, kupon selain beberapa barangan istimewa Gegar Vaganza.

Dalam pada itu, Raqim berkata, pada awalnya pihak produksi ingin mengadakan peringkat akhir di lokasi yang lebih besar namun kebanyakkan dewan atau stadium tertutup telah pun ditempah lebih awal oleh pihak lain.

"Kita memang berhasrat untuk mengadakan peringkat akhir itu di tempat lebih besar memandangkan sambutan luar biasa penonton terhadap Gegar Vaganza musim ini.

"Bagaimanapun pihak kami tiada pilihan kerana kebanyakan dewan yang boleh memuatkan jumlah penonton lebih besar sama ada sudah ditempah atau pun sedang menjalani proses pengubahsuaian," jelasnya.

MBSA boleh memuatkan 1,000 penonton pada satu masa.

Pertandingan akhir Gegar Vaganza 2 bakal menyaksikan persaingan daripada enam peserta iaitu Siti Nordiana, Farah Dhiya, Ezad Lazim, Haiza, Nassier Wahab dan Acong (Sweet Child).

Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Artikel Lain