suria

Tuduhan Khalwat Berlarutan 4 Tahun Jejaskan Kerjaya Seni Beego

Beego mengakui karier lakonannya terjejas selepas dituduh berkhalwat dengan dua wanita di sebuah rumah empat tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Pelakon Beego menjelaskan karier seninya terjejas selepas dituduh berkhalwat dengan dua wanita di sebuah rumah dalam kejadian empat tahun lalu.

Beego atau nama sebenarnya Aszerul Nizam Abdullah, 35, berkata, sepanjang tempoh itu dia jarang mendapat tawaran daripada produksi gara-gara kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah syariah.

"Sepanjang empat tahun ini karier saya terjejas namun saya terpaksa faham sekiranya produksi mengambil saya berlakon ia akan memberi kesan negatif jika saya didapati bersalah.

"Atas sebab itu juga saya tetap dengan pendirian dan tidak berputus asa membersihkan nama saya yang tercalar teruk sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Beego ditemui selepas keputusan kes khalwatnya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Selasa.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin dalam keputusannya memerintahkan Beego, Fikry Zainon, 35, dan Arsli Mior Atan Ahmad, 34, dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Terdahulu mereka didakwa berkhalwat dengan dua kenalan wanita iaitu Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina Yazit di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini pada pukul 6 pagi pada 23 Februari 2011.

Beego dan isterinya, Linda Hashim sedang menanti kelahiran anak kedua mereka pada Januari ini.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei 2012 atas tuduhan itu dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Beego berkata, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah sekali gus dapat membersihkan namanya daripada terus dilabel dengan perkara negatif.

Tambah Beego, dia bertuah kerana isterinya, aktres Linda Hashim banyak memberi inspirasi kepadanya untuk tidak mengalah biarpun ada pihak pernah menentang hubungan mereka sebelum ini.

"Tanpa isteri saya mungkin saya tidak sekuat hari ini kerana kepercayaannya terhadap saya membuatkan saya kuat untuk membersihkan nama.

"Linda pernah dikecam kerana memilih saya sebagai suami ekoran kes khalwat masih belum selesai ketika berkahwin namun dia tetap dengan pendiriannya dan syukur keputusan dibuat mahkamah memihak kepada saya," ujarnya.

Katanya lagi, kemenangan ini bukan sahaja dapat membersihkan namanya tetapi keluarga yang turut menerima kritikan akibat kejadian itu.

Sementara itu, Beego berkata, dia berharap selepas ini pihak produksi dan stesen televisyen akan memberi semula kepercayaan kepadanya untuk membintangi drama terbitan mereka.

"Saya bersemangat untuk merancakkan kembali karier lakonan saya dan keputusan mahkamah menjadi titik tolak kepada saya memulakan kehidupan baharu selepas ini," katanya.

Beego telah berkahwin dengan pelakon Linda Hashim pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata bernama Jelita Clarissa yang lahir pada 23 April 2014.

Beego

Artikel Lain