SHAH ALAM: Pelawak veteran Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya memberitahu kehidupannya tidak melarat seperti yang tersebar di laman sosial baru-baru ini. Mat Sentol, 82, yang popular dalam filem Mat Bond ini berkata, gambar memperlihatkan dia sedang berjalan kaki bukan seperti yang disangkakan sebaliknya ia adalah rutin hariannya. "Kehidupan saya Alhamdulillah baik dan saya tidak tahu kenapa orang berkata saya sebegitu. Mereka mungkin tidak pernah nampak saya berjalan kaki seorang diri. Sudah menjadi rutian harian saya setiap petang akan berjalan kaki di kawasan sekitar atau ke bandar sebagai senaman demi menjaga kesihatan," katanya kepada mStar Online. Mat Sentol berkata demikian ketika ditemui pada Malam Apresiasi Artis Sepanjang Zaman yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, malam Sabtu lalu. Mat Sentol kini menetap bersama anaknya di Johor Baru. Sementara itu, anaknya, Rosdin Abdul Rasip, 50, berkata, bapanya berada dalam keadaan baik dan kini tinggal bersamanya di Johor Baru. Kata Rosdin, foto menggambarkan kehidupan bapanya melarat adalah tidak benar sama sekali. "Saya tidak tahu mengapa mereka berkata demikian dan mungkin juga mereka ada niat baik untuk membantu ayah saya. "Tapi buat masa ini kehidupan dia baik bersama keluarga kami. Semua yang dikatakan di laman sosial tidak benar," ujarnya. Tambahnya, Mat Sentol memang mengamalkan berjalan kaki di sekitar bandar sebagai salah satu rutin hariannya. "Itu memang menjadi rutin harian, kesihatan dia baik cuma kadang-kadang sakit lutut tapi kalau kami larang dia berjalan... dia tidak mahu dengar. "Alhamdulillah ramai pemandu teksi yang kenal bapa dan sentiasa akan memastikan jika dia berasa penat akan ada menghantarnya pulang ke rumah," ujarnya.