suria

Ella & Suami Rancang Ambil Anak Angkat

Man Kidal (dari kiri), Azhar, Ella dan Edry Hashim akan terlibat dalam Minggu Setiausaha pada April 2016. FOTO: Brian Moh
KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Ella dan suaminya, Azhar Ghazali merancang untuk mengambil anak angkat.

"Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin, 49, berkata, dia sudah lama terfikir untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi selepas terpengaruh dengan rakan-rakan artisnya yang turut melakukannya.

”Memandangkan kami masih belum mempunyai anak, saya dan suami terfikir juga untuk mengambil anak angkat.

”Rasa seronok pula melihat rakan-rakan yang menjaga anak angkat. Terpengaruh pula. Apatah lagi kita membuat kebajikan membantu anak-anak yang tiada keluarga," katanya kepada mStar Online.

Ella ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha di Nu Sentral di sini pada Rabu.

Azhar Ghazali dan Ella.

Tambah Ella, rancangan pengambilan anak angkat tidak akan dilakukan pada masa terdekat kerana jadual kerjanya yang padat pada tahun depan.

Dalam pada itu, kata Azhar pula, rancangan mengambil anak angkat bukan kerana mereka tertekan belum mendapat zuriat sebaliknya niat itu sudah lama dipendam.

"Sehingga kini kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan anak dan jujurnya kami tidak tertekan kerana kami percaya Allah tentukan rezeki kami. Kita hanya mampu merancang.

"Malah setiap hari orang bertanya, 'bila nak ada anak', dan kami dah lali dengan soalan seperti itu," tuturnya.

Ella dan Azhar berkahwin pada 7 Julai 2012.

Sementara itu, mengenai konsert minggu setiausaha bersama Ella, ia bakal berlangsung pada 27 April 2016 di Dewan Perdana Felda di sini.

Ini merupakan pertama kali Ella terlibat dengan persembahan minggu setiausaha selepas 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik.

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk terlibat dengan persembahan berbentuk lebih dekat dengan peminat.

"Tambahan pula sudah 30 tahun saya dalam industri dan sya mahu meraikan tiga dekad ini bersama peminat-peminat," ujarnya.

Selain Ella, pemuzik Man Kidal dan Edry Hashim akan turut menyertai persembahahan itu nanti.

Tiket yang berharga RM400, RM600 dan RM800 mula dijual pada Januari 2016. Ia boleh ditempah menerusi talian 01116334041.

Persembahan minggu setiausaha bersama Ella dianjurkan oleh Ben Jawi Entertainment.
Ella

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain