suria

Konsert Gagal Akibat Kritik PM, Soo Wincci Nyaris Muflis

Soo Wincci
PETALING JAYA: Penyanyi Soo Wincci terpaksa menanggung hutang sehingga nyaris diiystiharkan muflis akibat kegagalannya mendapatkan tajaan mengadakan konsert Inwinccible yang berlangsung pada 31 Oktober tahun lalu.

Wincci, 30 berkata, bagaimanapun dia gembira kerana rakan-rakannya membantu meminjamkan wang bagi mengurangkan bebanannya melangsaikan hutang tersebut.

"Konsert itu tidak gagal kerana saya berjaya memberi persembahan terbaik kepada penonton. Cuma ia gagal daripada segi kewangan.

"Jujurnya saya hampir muflis kerana hutang yang ditanggung. Mujurlah rakan-rakan membantu meminjamkan wang bagi menyelesaikan hutang itu.

"Bayangkan, kesihatan saya juga tidak stabil ketika itu kerana terlalu kuat bekerja," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.

Terdahulu, Wincci nekad meneruskan konsertnya pada 31 Oktober 2015 dengan melaburkan RM500,000 selepas beberapa penaja menarik diri gara-gara desakannya agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Ekoran itu, Wincci  tidak dapat melaburkan wangnya untuk membuat promosi konsert berkenaan sehinggakan tiket persembahan tidak mendapat sambutan.

Ia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sementara itu Wincci memberitahu tidak pernah menyesal dengan tindakan meneruskan konsert tersebut kerana ada kelebihan lain apabila dia lebih dikenali sehingga ke luar negara.



Persembahan Wincci pada konsert Inwinccible 31 Oktober 2015.

Malah beberapa badan korporat turut membantu Wincci dengan memberi surat sokongan bagi setiap projek yang dijalankan.

Dalam perkembangan lain, Wincci turut diundang membuat rakaman persembahan di Beijing, China untuk saluran CCTV bersempena  sambutan Tahun Baru Cina pada 8 Februari depan.

"Saya bersama lapan penyanyi China akan terlibat menjayakan program tersebut. Memandangkan mereka memberi peluang untuk saya membawakan tiga buah lagu, maka banyak juga persiapan yang harus dibuat.

"Rakaman program itu akan berlangsung pada 19 Januari ini dan saya akan bertolak dua hari lebih awal.

"Saya turut membuat latihan tarian akrobatik serta beberapa aksi yang agak berbahaya pada persembahan itu nanti," ujarnya.

Kata Wincci, persembahannya itu akan ditayangkan di lapan buah negara pada sambutan Tahun Baru Cina termasuklah di saluran Astro.

Sementara itu, Wincci turut sibuk mengendalikan syarikat pengurusan artis miliknya iaitu Beyond Artist di mana dia akan membawa penyanyi-penyanyi naungannya mengembangkan bakat seni di Taiwan.

"Setakat ini saya sudah mempunyai enam artis di bawah naungan saya iaitu Hanz, Cindy Chen, Eunice Hoo, Mad August, Winson Goo dan Gary Yap.

"Memandangkan saya mempunyai jalinan hubungan yang baik dengan penggiat seni Taiwan, saya gunakan kesempatan untuk membawa mereka mencuba nasib di negara itu," tuturnya.
Soo Wincci

Artikel Lain