suria

Zizan Razak Jadikan 2016 Tahun Bebas Kontroversi

Zizan Razak memegang watak Zizang dalam Oh My Ganu 2. FOTO: Rohaizat Md Darus
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak berharap dapat melalui tahun 2016 tanpa sebarang kontroversi sehingga menjejaskan namanya seperti yang berlaku pada tahun lalu.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, berkata, dia yakin akan lebih matang dalam mengawal kontroversi menerusi pengalaman lalu.

"Ada orang yang memang suka cipta kontroversi tetapi bukan saya, kalau boleh memang saya mahu menggelak daripada perkara tersebut.

"Namun, itu semua ujian Allah dan apa yang saya boleh buat ialah belajar daripada pengalaman untuk mengawalnya agar tidak menjadi lebih buruk," ujarnya kepada mStar Online.

Zizan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana telefilem Oh My Ganu 2! yang diadakan di The Gardens, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, ditanya tentang perancangan untuk berumah tangga, Zizan berkata, dia masih belum mempunyai calon untuk dijadikan isteri.

Katanya, buat masa ini, dia ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjaya seni.   Saya memang sudah lama ada niat untuk berkawin, namun calon sahaja belum ada lagi.

"InsyaAllah kalau ada jodoh saya akan beritahu dan tidak akan sembunyikan perkara baik itu," ujarnya.

Zizan Razak (kanan) dan Izzue Islam bergandingan dalam Oh My Ganu 2.

Dalam pada itu, bercerita tentang Oh My Ganu 2!, Zizan membawakan watak sebagai Zizang dalam telefilem tersebut bergandingan bersama Tiz Zaqyah, Zain Saidin, Izara Aisyah dan Izzue Islam.

Berbeza dengan telefilem musim pertama Oh My Ganu, Zizan berkata, dia terpaksa membawakan watak komedi yang berbeza khusus untuk penonton kanak-kanak.

"Lawak untuk telefilem ini berbeza sedikit kerana penonton sasarannya adalah kanak-kanak, lawak pun kena seperti watak kartun sedikit," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Vickie Lai, berkata, telefilem ini merupakan kesinambungan daripada Oh My English! Class of 2015 yang menerima maklum balas memberangsangkan.

"Kami menerima tontonan lebih 7.8 juta rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat.

"Untuk itu, bagi menghargai sokongan mereka selama ini yang tidak berbelah bahagi, kami memberikan kuasa kepada mereka untuk menetukan pengakhiran telefilem Oh My Ganu 2! di mana undian mereka akan membantu Cikgu Ayu memilih sama ada Mr.Middleton ( Zain Saidin) atau Zizang (Zizan)," ujarnya.

Katanya, penonton boleh memilih untuk menentukan pengakhiran telefilem versi Henry dengan hashtag (#TeamHenry) ataupun versi Zizan (#TeamZizang) di twitter masing-masing.

Oh My Ganu 2! akan disiarkan pada 16 Januari, pukul 9 malam di Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Maya HD (Saluran 135).
Zizan Razak, Oh My Ganu

Artikel Lain