Nazrul berkata, teater ini akan mengetengahkan nilai persahabatan yang tertanam dalam diri setiap penunggang motosikal yang tidak diketahui umum.
"Insya-Allah teater ini akan menarik semua golongan iaitu dari Mat Rempit sehingga penunggang motosikal berkuasa tinggi.
"Kita juga menawarkan harga tiket yang berpatutan iaitu serendah RM45 sahaja yang mampu ditonton semua golongan.
Nazrul ditemui pada sidang media teater Bikers Kental, di Istana Budaya di sini pada Jumaat.
Teater tersebut bakal dibintangi oleh Awie, Zizan Razak, Nadia Brian, dan Ameerul Affendi.
Ia akan dipentaskan dari 23 Januari hingga 31 Januari ini.
Dalam pada itu Nazrul berkata, dia mendapat ilham untuk mengangkat naskhah ini ke pementasan teater berikutan sambutan hangat filem Bikers Kental yang ditayangkan pada 2013 lalu.
"Saya akan cuba bawakan seberapa banyak motosikal di atas pentas dengan kerjasama pelbagai syarikat motosikal berkuasa tinggi.
"Insya-Allah kita juga akan dapat sokongan daripada kelab motosikal di Malaysia kerana teater ini dibuat juga sebagai penghargaan kepada mereka," ujarnya.
Teater yang diterbitkan MS Integrayed Sfn Bhd dan Califwork Studios ini mendapat sokongan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Tiket boleh didapati dengan harga RM45, RM65, RM95, RM124, RM155, RM185 dan RM305.
Ia mula dijual pada 12 Januari ini menerusi www.AirAsiaRedtix.com