suria

Filem 'Ola Bola' Dapat Nasihat Hero Bola Sepak Legenda Negara

Barisan pelakon Ola Bola; (dari kiri), JC Chee, Saran Kumar, Bront Palarae dan Muhd Lukman Hafidz.
KUALA LUMPUR: Pengarah filem iaitu Chiu Keng Guan terharu apabila mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada hero sukan bola sepak tempatan dalam menghasilkan filem terbaharu arahannya, Ola Bola.

Chiu berkata, nasihat dan pandangan daripada legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Bakri Ibni, James Wong dan Hassan Sani sangat membantunya dalam mendapat gambaran lebih jelas tentang bola sepak pada era 80-an.

"Semangat legenda bola sepak yang saya temui ini tidak pernah luntur dan pertemuaan dengan mereka sebelum memulakan penggambaran filem ini amat membantu saya sebagai pengarah.

"Perkara yang saya belajar dari perjumpaan tersebut adalah disiplin yang sangat tinggi dalam diri mereka.

"Elemen itu juga menjadi kekuatan kepada watak-watak dalam karya berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Chiu mendapat nasihat dan pandangan daripada bekas pemain lagenda bola sepak sebelum memulakan penggambaran.

Ola Bola yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 28 Januari ini menampilkan barisan pelakon seperti Bront Palarae, JC Chee, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

Filem berkenaan mengambil inspirasi daripada kegemilangan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow.

Dalam pada itu, Chiu berkata, dia tidak terburu-buru untuk menyiapkan filem berkenaan kerana ingin memastikan semua kajian terperinci dibuat sebelum penggambaran dijalankan.

Ini termasuk mengadakan temu bual, melihat foto asal selain menyediakan pakaian sesuaia mengikut era berkenaan.

"Projek ini sangat isitimewa kepada saya kerana ingin memberi penonton merasai kehebatan pasukan Malaysia pada suatu ketika dahulu.

"Saya juga memastikan semua pelakon yang diambil perlu mahir bermain bola sepak kerana tidak mahu aksi mereka kelihatan seperti dibuat-buat.

Ola Bola bakal menemui penonton bermula 28 Januari ini.

"Malah beberapa sesi khas diadakan untuk mengasah kemahiran mereka di padang kerana mahu mereka benar-benar menjiwai watak," ujarnya.

Sementara itu, Chiu berkata, dia juga berpuas hati dengan persembahan kesemua pelakon utama Ola Bola biarpun ada di antara mereka tidak mempunyai asas lakonan sebelum ini.

Malah kata Chiu, dia terkejut dengan persembahan ditunjukkan oleh mereka dan berharap lakonan mereka dapat menyentuh hati penonton.

"Ola Bola adalah filem untuk semua masyarakat Malaysia dan para pelakon daripada pelbagai bilangan bangsa telah berjaya melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Saya teruja menantikan maklum balas daripada penonton mengenai filem ini nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama, Chiu berkata, dia tidak terlalu memikirkan perbandingan akan dibuat penonton terhadap filem terdahulunya The Journey yang berjaya mengutip RM17.28 juta.

"Ola Bola adalah sebuah naskah berbeza daripada The Journey dan perbandingan itu tetap akan ada namun saya optimis dengan sebarang kritikan membina," ujarnya.

Ola Bola, Chiu Keng Guan

Artikel Sebelum

Artikel Lain