suria

Aiman Hakim Minta Tidak Ditanya Mengenai Fathia

Aiman Hakim
KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim berharap orang ramai dan pihak media tidak mendesak dia untuk menceritakan mengenai kehancuran hubungan cintanya dengan pelakon Nur Fathia Latiff.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza, 27,  berkata, dia enggan membuat sebarang kenyataan berikutan mahu menjaga hati banyak pihak termasuk keluarga.

"Saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara ini dan berharap anda memahami serta menghormati privasi saya.

"Ia adalah kerana saya tidak mahu kenyataan saya akan menyinggung mana-mana pihak dan banyak hati yang perlu dijaga, saya ada ibu-bapa, begitu juga dia (Fathia)," ujarnya kepada mStar Online.


Fathia dan Aiman bergandingan dalam teater Bidasari yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 17 Februari ini.
Hubungan Aiman dan Nur Fathia kini menjadi kenangan.

Aiman ditemui pada sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya iaitu Sesal Separuh Nyawa yang diadakan di Zebra Square, di sini, Rabu.

Hubungan Aiman dan Nur Fathia dikatakan sudah berakhir sejak Disember tahun lalu selepas empat tahun bercinta.

Sementara itu, ditanya tentang kehidupannya kini, pelakon tersebut berkata, dia ingin berusaha menjadi manusia yang lebih baik.

"Soalan tentang kehidupan saya kini juga sangat menjurus tentang perkara itu, saya seperti manusia normal lain yang bangun tidur dan gosok gigi.

"Sebagai seorang manusia normal juga, saya sentiasa mahu kehidupan saya menjadi lebih baik setiap hari," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya apakah pandangan dia jika diberi watak bergandingan dengan Nur Fathia ujar Aiman, dia tidak dapat menentukan takdir yang sudah tertulis.

"Ia adalah takdirlah, kalau Allah kata ada rezeki saya untuk bekerja sekali dengan dia… maka adalah," ujarnya.

Tambah Aiman, bagi tahun 2016, dia mahu lebih memberi fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon dan kembali ke bidang nyanyian.

Dia juga bakal membuka sebuah cafe studio iaitu Xtudio yang terletak di Damansara Perdana, tidak lama lagi.

Para pelakon dan mereka yang terlibat dalam Sesal Separuh Nyawa.

"Saya dalam perancangan untuk buat single sendiri, Insya-Allah ia dalam proses. Selain itu saya juga bakal membuka sebuah studio untuk jamming yang dilengkapi cafe," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang drama Sesal Separuh Nyawa, Aiman yang membawakan watak Razlan memberitahu ia merupakan salah satu naskhah berat yang pernah dilakonkan.

Dia perlu membuat kajian bagi mendalami watak tersebut dengan lebih mendalam agar sampai kepada penonton.

"Saya jadi watak anak derhaka yang sering menentang apa juga kata ibu bapa. Kami menjalani penggambaran di Amsterdam selama dua minggu.

"Drama ini boleh dikatakan antara drama yang mencabar dan menguji lakonan saya," ujarnya.

Antara artis lain yang turut terlibat ialah Ayda Jebat, Aidid Noh, Nina Nadira, Datuk Tarmimi Siregar dan Azhan Rani.

Sesal Separuh Nyawa terbitan Darkwave Picture Sdn Bhd bakal ditayangkan setiap Isnin dan Selasa bermula 18 Januari di HyppSensasi (HyppTV Saluran 116). 
Aiman Hakim, Nur Fathia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain