PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Pekin Ibrahim tidak menyangka filem pertama arahannya Mat Moto berjaya mendapat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan. Pekin, 35, berkata, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal dan terkejut apabila dimaklumkan perkhabaran tersebut oleh penerbitnya, Datuk Yusof Haslam. "Datuk Yusof telefon saya pukul tiga pagi memaklumkan perkara itu dan saya hilang kata-kata apabila mendapat tahu perkara itu kerana ia jauh melebihi sasaran awal. "Selepas mengambil kira jualan tiket sebelum filem ditayangkan kami hanya menganggarkan kutipan hari pertama RM500 ribu tetapi tidak sangka mencecah RM1 juta, Alhamdulillah," katanya kepada mStar Online. Pekin ditemui pada majlis tayangan filem berkenaan bersama media di Cathay E@Curve di sini, Jumaat. Mat Moto arahan bersama Syafiq Yusof turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim sendiri, Datuk Rosyam Nor, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Zul Huzaimy, Faizal Hussein, Falisha Crossley, Cat Farish dan Kamarool Yusof. Pekin (kiri) pertama kali bergandingan dengan Syafiq Yusof. Ia ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu. Filem terbitan bersama Skop Productions, Viper Studios dan Fimtab ini menelan belanja RM1.3 juta untuk kos pembikinan termasuk promosi dan teknik kesan khas visual (CGI). Tambah Pekin, sambutan luar biasa terhadap filem pertama arahannya itu diharap menjadi petanda baik untuk naskhah berkenaan mencapai sasaran mereka. "Saya sasar kutipan sebanyak RM5 juta dan berharap ia akan tercapai," ujarnya. Dalam pada itu, Pekin mengakui menitiskan air mata ketika pertama kali menyaksikan filem tersebut pada hari pertama tayangannya kerana terkenangkan sahabatnya, Azwan Anuar yang menjadi tulang belakang dalam menghasilkan naskah tersebut. Kata Pekin, dia beremosi kerana tidak berkesempatan menggunakan skrip yang telah dihasilkan arwah untuk filem berkenaan. "Arwah dah siapkan skrip filem Mat Moto tetapi saya tidak dapat mencari di mana dia simpan skrip tersebut dan saya terpaksa menghasilkan semula dari asas. "Apabila menonton saya terkenangkan Azwan dan filem ini saya dedikasikan kepadanya," kata Pekin. Sementara itu, Pekin berkata, dia bertuah mendapat Syafiq sebagai pengarah bersama Mat Moto kerana pengarah muda itu mempunyai pengalaman dan kreativiti luar biasa dalam menjadikan naskhah tulisannya itu lebih menarik. "Kami mengambil masa dalam 20 hari menyiapkan filem ini dan sepanjang tempoh itu banyak saya belajar daripada Syafiq untuk memastikan hasil akhir filem ini memuaskan. "Saya juga beruntung kerana mendapat barisan pelakon yang hebat dan mantap sekali gus memudahkan kelancaran penggambaran," ujarnya. Dalam perkembangan sama, Yusof berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada Pekin mengarahkan filem ini kerana melihat dia mempunyai wawasan dan hala tuju sebagai pengarah. Jelas Yusof, dia berpuas hati dengan hasil kerja Pekin yang disifatkan berkualiti selain gaya persembahan dan pengisian berbeza dari filem arus perdana lain. "Saya teruja dan berbesar hati memberi peluang kepada Pekin sebagai pengarah baharu dan bekerjasama dengan Syafiq bagi menghasilkan filem ini. "Semangat dan wawasan Pekin harus diberi perhatian sewajarnya kerana dia adalah pelapis pengarah sedia ada," katanya. Filem ke 40 terbitan Skop Productions itu memulakan penggambaran pada 19 Jun tahun lalu di beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan dan Terengganu.