PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat berazam untuk membebaskan diri daripada pengaruh najis dadah selepas dikenakan pengawasan selama lima tahun oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 36, berkata, fokusnya kini adalah untuk memperbaiki kehidupannya selain ingin kembali aktif dalam bidang seni. "Saya sekarang berada dalam tempoh pengawasan AADK selama lima tahun dan saya berazam untuk memperbaiki diri selain mengikuti segala program dianjurkan pihak berkenaan. "Setakat ini Alhamdulillah saya mengikut semua peraturan dan ingin memberi fokus kepada karier muzik saya yang tergendala," katanya kepada mStar Online. Pada persembahan malam konsert mega Gegar Vaganza di Istana Budaya Ahad lalu, Mamat membuat kemunculan istimewa apabila bergandingan dengan bekas vokalis Exists iaitu Ezad Lazim mendendangkan lagu Langkah Seiringan. Kemunculannya pada malam itu mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Mamat dan Ezad berduet menerusi lagu Langkah Seiringan pada konsert Mega Gegar Vaganza Ahad lalu. Dalam pada itu, Mamat berkata, biarpun berada bawah pengawasan AADK namun tidak menjadi masalah kepadanya untuk keluar dari Johor sekiranya dijemput mengadakan persembahan. Jelas Mamat, dia hanya perlu menulis surat dan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkenaan dan setakat ini katanya tiada masalah. "AADK sangat menyokong dan sekiranya ada persembahan di luar Johor saya hanya perlu menulis surat dan meminta kebenaran. "Bagaimanapun masih ada peraturan yang perlu saya patuhi dan setakat ini semuanya berjalan lancar," katanya yang melalui tempoh pengawasan di negeri berkenaan. Terdahulu pada Julai lalu, Mamat dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan diri di balai polis dalam tempoh pengawasan. Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan pengawasan polis selama dua tahun pada Ogos 2011 selepas tertuduh mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, lima tahun sebelum itu. Manakala pada Jun 2015, Mamat turut dikenakan denda sebanyak RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda selain berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah pada Mac tahun sama. Sementara itu, mengulas kononnya dia tidak diundang menjayakan konsert Mega Gegar Vaganza, Mamat berkata, ia sebenarnya adalah salah faham. Kata Mamat, pihak Astro ada cuba menghubunginya namun gagal disebabkan dia menukar nombor telefon bimbitnya. "Ada wartawan temubual saya berhubung perkara itu sebelum ini dan selepas saya menjelaskan ia salah faham dan memberikan nombor telefon baharu saya pihak Astro ada menghubungi saya. "Alhamdulillah seronok dapat bersama-sama rakan lain dalam konsert ini dan ia permulaan baik untuk saya kembali aktif dalam karier seni," katanya.