PETALING JAYA: Kejadian perceraian yang berlaku terhadap beberapa selebriti tempatan sejak akhir-akhir ini membuatkan bekas pasangan suami isteri Khai dan Rosma mengambil pendekatan untuk lebih berusaha menjaga keharmonian rumah tangga. Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik, 31, berkata, dia enggan memikirkan perkara buruk yang mungkin bakal berlaku terhadap perkahwinannya, tetapi mahu berfikiran positif dengan menjadi pasangan yang lebih baik. "Apabila mendengar rakan-rakan artis bercerai, ia adalah satu berita sedih buat kami. "Benar, perpisahan itu pasti, sama ada ketika hidup atau mati. Dan kami mengambil berita ini sebagai pengajaran, memperbaiki hubungan suami isteri dengan lebih baik daripada sebelumnya," katanya. Khai dan Rosma Pasangan suami isteri yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ditemui pada majlis pelancaran Eh EH Bazaar di Restoran Hadramawt Ampang dekat sini pada Khamis lalu. Sementara itu, Khai atau nama sebenarnya Khairul Nizam Mohamad, 37, berkata, dia dan Rosma sering membuat luahan perasaan antara satu sama lain agar dapat memahami rasa tidak puas hati masing-masing. "Dalam hubungan suami isteri pasti ada jatuh bangunnya. Dan semestinya antara kami pasti ada yang tidak kena. "Jadi menjadi amalan untuk kami membuat sesi luahan perasaan setiap bulan. Jika pada awal perkahwinan kami, masing-masing menulis di kertas rasa tidak puas hati itu, sekarang kami lebih senang cakap berdepan. Saya harap cara ini dapat menguatkan lagu hubungan kami," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Rosma dan Khai kini sibuk menjalani perniagaan produk kurus iaitu Magic Slims.