suria

Tidak Terlibat MLM 2016, Shahrol (Shiro) Tidak Mahu Kecewakan Peminat

Shahrol Shiro tidak menyertai MLM 2016 kerana enggan mengecewakan peminat.

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio Era FM, Shahrol (Shiro) memberitahu keputusan enggan terlibat dengan program Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM 2016) dibuat kerana tidak mahu mengecewakan peminat-peminatnya.

Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi, 32, berkata, dia juga tidak bimbang jika popularitinya merundum apabila tidak menyertai program komedi popular tersebut.

"Saya tidak risau tentang populariti. Ya... mungkin akan ada pelawak-pelawak lain yang akan lebih menonjol daripada saya kerana terlibat dengan program berkenaan.

"Namun, biarlah kurang popular daripada mengecewakan peminat-peminat yang sentiasa mahukan persembahan terbaik," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.

Shahrol berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penglibatan pelawak Ajak Shiro yang bakal bergandingan dengan Tauke (Jambu) dan Angah (Raja Lawak) untuk program tersebut.

Dalam pada itu, katanya, dia terikat dengan beberapa komitmen lain yang boleh menjejaskan fokusnya jika menyertai pertandingan tersebut.

Katanya, dia juga tidak mahu penglibatannya dalam program berkenaan dianggap sekadar melepaskan batuk di tangga.

Shiro ketika bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega.

"Saya ada tiga komitmen penting iaitu penyampai Era FM, pengacara untuk program Meletop Kebaboom dan bisnes di Johor Baru yang pasti memerlukan perhatian.

"Seperti pengamalaman lalu, setiap minggu memerlukan kami mencari idea dan fokus dengan lawak yang ingin disampaikan. Ia bukan sesuatu yang mudah.

"Saya tidak boleh beri perhatian kepada perkara ini sahaja dan sudah tentu persembahan akan teruk," katanya.

Sementara itu, Shahrol berkata, dia tidak berkecil hati, rakan baiknya Ajak Shiro menyatakan hasrat untuk meneruskan perjuangan di pentas MLM 2016 ini dengan kumpulan yang baharu iaitu LOL.

Katanya, Tauke ada meminta izin untuk meminjam Ajak bagi menjayakan projek istimewa ini.

"Tauke ada bertanya saya untuk bergabung dengan Ajak dan saya setuju serta menyokong kumpulan mereka. Tauke ada beritahu misi mereka adalah untuk menyumbang sedikit kepada Allahyarham Pak yus," ujarnya.

MLM 2016
bakal menampilkan 15 peserta dan bakal bersiaran selama 14 minggu pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 29 Januari ini.

Shahrol Shiro, MLM 2016

Artikel Lain