suria

Atilia Sangkal Enggan Anak Kerana Mahu Jaga Badan

Atilia masih belum berputus asa untuk mendapatkan cahaya mata. Foto SAMUEL ONG
PETALING JAYA: Penyanyi Atilia Haron menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya dia belum sedia untuk mempunyai anak semata-mata ingin menjaga bentuk badan.

Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron, 42, berkata, sejak berkahwin kali kedua dengan Adam Sofian dua tahun lalu fokusnya adalah mahu mendapatkan cahaya mata namun rezeki masih belum menyebelahi mereka.

"Siapa yang tidak mahukan anak? Orang kata saya tidak mahukan anak kerana ingin jaga badan dan ia tidak benar sama sekali.

"Pada usia saya sekarang anak adalah anugerah yang kami inginkan dan sentiasa berusaha ke arah itu namun rezeki belum menyebelahi kami," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Atilia berkata, sebelum ini dia dilihat memperlahankan karier seninya semenjak berkahwin dengan Adam kerana ingin memberi fokus dalam mendapatkan anak.

Adam dan Atilia berkahwin pada 31 Ogos 2014.

Akui Atilia, dakalanya dia berasa cemburu melihat rakan-rakannya yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

"Saya belum berputus asa dan yakin Allah sudah mengaturkan yang terbaik untuk saya.

"Cemburu juga kadang-kadang melihat gelagat rakan-rakan lain dengan anak-anak mereka tetapi masa untuk saya belum tiba," ujarnya.

Sementara itu, Atilia berkata, bagi mengalih fokusnya terhadap soal anak dia memberikan tumpuan kepada perniagaan pusat yoga iaitu Yoga One That I Want yang kini mempunyai tujuh buah cawangan di sekitar Lembah Klang.

Dia bersyukur pusat berkenaan mula mendapat perhatian yang ingin mencuba senaman yoga malah dia sendiri bertindak sebagai jurulatih di beberapa cawangan.

Atilia bakal muncul dengan album ketiga pada Mei depan.

"Alhamdulillah, saya bermula dengan secara kecil-kecilan dan siapa menyangka kini saya sudah mempunyai tujuh buah cawangan dan Insya-Allah ia akan terus berkembang selepas ini," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Atilia baharu sahaja muncul dengan single terbaharunya berjudul Aku Curiga yang juga lagu nyanyian asal ibunya sendiri, Salamiah Hassan.

Selain itu kata Atilia, album ketiganya bakal dipasarkan pada Mei depan dan sedang dalam proses menyiapkan album yang memuatkan 10 buah lagu itu.

Untuk rekod, Atilia pernah merakamkan dua buah album iaitu Sangkar (2007) dan Indah (2010).

Atilia Haron

Artikel Berikut

Artikel Lain