suria

Azri (AF 9) Sertai 'Seiras Seirama' Untuk Tampung Hidup

Azri bersama isterinya, penyanyi Salma Mentor. Foto Ihsan Instagram @azri_af9
PETALING JAYA: Penyanyi Azri Abdullah memberitahu antara sebab dia menyertai program Seiras Seirama siaran Astro kerana ingin mengejar ganjaran disediakan oleh pihak penganjur bagi menampung kehidupan.

Azri, 29, yang juga bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-9 (AF 9) itu berkata, dengan keadaan ekonomi tidak menentu dia sentiasa mencari peluang kerana ia sumber pendapatan untuk menyara keluarganya.

"Terus terang saya cakap antara sebab saya masuk Seiras Seirama kerana ganjaran hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang.

"Saya sudah berkeluarga dan apabila nampak apa sahaja cabang yang boleh mendatangkan pendapatan saya tidak keberatan untuk mencuba," katanya kepada mStar Online.

Pada pertandingan yang diadakan pada Ahad lalu, Azri tampil dengan persembahan mirip ikonnya, Faizal Tahir namun peserta persis Ziana Zain iaitu Azlina Aziz menjuarai program berkenaan.

Azlina berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 berserta trofi manakala peserta lain tidak mendapat apa-apa ganjaran.

Dalam pada itu, Azri turut mengakui menggunakan program Seiras Seirama untuk mengangkat semula namanya dalam bidang seni.

Jelasnya, meskipun tidak memenangi pertandingan tersebut dia berharap ia sedikit sebanyak dapat memberikan impak kepada kariernya yang suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Azri tidak bimbang dilabel sebagai klon Faizal Tahir.

"Antara sebab lain saya masuk program ini adalah untuk membuat kemunculan semula dalam bidang seni dan berharap ia akan memberikan kesan kepada karier saya selepas ini.

"Saya mahu bangunkan kembali kerjaya saya dan program berkenaan adalah platform paling sesuai untuk berbuat demikian," katanya.

Dalam perkembangan sama, Azri berkata, dia tidak bimbang akan terus dilabel sebagai klon Faizal kerana apa yang dipertontonkan dalam Seiras Seirama bukan dirinya yang sebenarnya.

Jelas Azri, sebagai penyanyi dia mempunyai identiti tersendiri dan yakin peminat tidak akan membuat perbandingan di antaranya dan idolanya itu.

"Sebenarnya semenjak menyertai Akademi Fantasia dahulu orang sudah mula mengatakan saya seperti Faizal tetapi lama kelamaan mereka mula nampak diri saya yang sebenar.

"Faizal adalah idola dan semangat untuk saya terus berjuang dalam bidang muzik dan bukan ingin menjadi sepertinya tetapi mencapai kedudukannya pada hari ini," jelasnya.

Sementara itu, Azri berkata, dia bakal melancarkan single duet terbaharu bersama isterinya, Salma, 26, yang juga bekas juara program Mentor musim kelima.

Jelasnya, lagu berjudul Jiwa Bersatu ciptaan oleh Akir dan Frozen daripada kumpulan Hyper Act itu diharap dapat diterima baik oleh peminat selepas sekian lama tidak muncul dengan produk terbaharu.

"Saya berduet dengan isteri kerana ingin melakukan sesuatu yang istimewa bersama tambahan pula dia sangat berbakat besar sebagai penyanyi.

"Sayang jika tidak diketengahkan dan Alhmadulillah kami dapat bergangingan selain berharap impak daripada program Seiras Seirama dapat memberi ruang kepada lagu berkenaan untuk diberi perhatian oleh pendengar," ujarnya.

Azri dan Salma atau nama sebenarnya Salma Andi-Asis berkahwin pada 31 Januari tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Andi Raisya yang berusia empat bulan.

Azri AF9, Seiras Seirama

Artikel Lain