suria

"Jangan Terpengaruh Maklumat Media Sosial" - Yusof Haslam

Yusof Haslam. Foto LOW LAY PHON
PETALING JAYA: Penerbit filem Datuk Yusof Haslam menegaskan masyarakat tidak boleh mempercayai informasi yang dipaparkan di media sosial sepenuhnya memandangkan banyak fakta yang boleh diputarbelitkan.

Yusof berkata, pada zaman teknologi maklumat itu, tidak semua informasi yang dipaparkan adalah benar kerana ia boleh dihasilkan sendiri tanpa pengawasan atau tapisan daripada mana-mana pihak.

"Saya faham, kita tidak boleh lari daripada penggunaan media sosial ini. Tetapi sebagai pengguna, masyarakat harus bijak dan faham dengan setiap pembacaan yang dipaparkan di medium tersebut.

"Sayangnya, kebanyakan umum mudah percaya dengan berita dan komen-komen yang dimuat naik. Sedangkan mereka tidak sedar, infomasi yang dipaparkan itu mungkin telah memanipulasikan mereka.

"Bayangkan, setiap status dan komen-komen baik dan buruk yang dimuat naik boleh dibayar. Jadi, sejauh mana maklumat tersebut adalah fakta yang tepat?" katanya kepada mStar Online.

Yusof berkata demikian bagi mengulas penggunaan media sosial pada zaman kini yang dilihat lebih ke arah keburukan berbanding kebaikan.

Dalam pada itu, tambah Yusof, kegilaan penggunaan media sosial membuatkan kebanyakan masyarakat semakin keliru antara kehidupan maya dan realiti.

Kata Yusof, kewujudan masalah berkenaan membuatkan dia memasukkan isu berkenaan menerusi drama terbitannya, Gerak Khas 2016.

"Saya mahu masyarakat sedar bahawa media sosial bukanlah segala-galanya dalam kehidupan mereka.

"Sebab itu saya mahu paparkan isu ini dalam satu satu episod siri Gerak Khas 2016, dengan harapan penonton faham mesej yang disampaikan," tegasnya.

Drama bersiri yang mula diterbitkan sejak tahun 1999 itu bakal disiarkan pada setiap Jumaat bermula 4 Mac ini, pukul 9 malam di TV2.

Musim terbaharu drama berbentuk kepolisan itu memberi kelainan tersendiri di mana karya tersebut akan diarahkan oleh lima pengarah iaitu Aziz M Osman, Faizal Yusof, C Kumaresan, Majed Salleh dan Syamsul Yusof.

Yusof Haslam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain