suria

Ebby Yus Hadkan Minum Air Elak Kegagalan Paru-Paru

Ebby Yus dimasukan ke hospital minggu lalu kerana masalah paru-paru.
PETALING JAYA: Pelawak Ebby Yus terpaksa mengehadkan jumlah air dalam badannya dengan hanya meminum seliter air sahaja sehari bagi mengelakkan paru-parunya gagal berfungsi.

Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 51, berkata, doktor turut menasihatinya untuk mendapatkan rehat yang cukup dan mengurangkan waktu kerja yang boleh menjejaskan kesihatannya.

"Saya dinasihatkan untuk kawal minum air kerana paru-paru saya tidak dapat menerima air yang banyak iaitu hanya seliter air sehari sahaja

"Selain itu saya perlu rehat yang cukup, selama ini pun saya sudah perlahankan kerjaya seni dan kurangkan waktu bekerja terutamanya yang memerlukan saya terlalu banyak bergerak," ujarnya kepada mStar Online.

Ebby Yus dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama seminggu sejak 8 Februari lalu selepas mengalami masalah paru-paru dan jantung.

Dia dibawa ke pusat perubatan berkenaan selepas mengadu sukar untuk bernafas.

Bagaimanapun, pelawak tersebut dibenarkan pulang pada Isnin lalu selepas kesihatannya beransur pulih.

"Saya dibawa ke hospital kira-kira pukul 6 pagi Isnin minggu lalu selepas sukar bernafas, ketika itu saya baru pulang daripada uji bakat mencari peserta program realiti di Kuantan, Pahang.

"Mungkin juga terlalu penat sehingga kesihatan saya terjejas dan hari pertama di IJN saya ditempatkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU)," ujarnya.

Pelakon berkenaan, sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Sabah pada November 2015 akibat masalah yang sama.

Tambah Ebby Yus, dia akan berehat beberapa hari sebelum kembali dengan penggambaran program realiti Silat Pendekar Muda untuk siaran TV Alhijrah tidak lama lagi.

Dia masih mempunyai kontrak selama enam bulan dengan stesen televisyen tersebut sebagai hos bergandingan pengacara Jimmy Shenley.

"Saya ada komitmen dengan program realiti Silat Pendekar Muda untuk TV Alhijrah yang akan bersiaran tidak lama lagi. Sekarang sibuk dengan pencarian 12 orang peserta.

"Insya-Allah, saya boleh buat program itu kerana saya hanya hos bersama sahaja dan tidak terlalu berat," ujarnya.
Ebby Yus

Artikel Lain