PETALING JAYA: Pelakon Almy Nadia kini sedang hamil anak keduanya dan kandungannya itu sudah pun memasuki usia tujuh minggu. Perkara itu disahkan sendiri oleh suaminya aktor Fizz Fairuz ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem Munafik di sini pada malam Khamis. Fizz berkata, dia sebelum ini tidak berniat untuk merahsiakan khabar gembira itu namun ingin menunggu masa sesuai selepas mendapat pengesahan daripada doktor berhubung kehamilan isterinya itu. "Buat apa hendak hebahkan perkara yang tidak pasti namun Alhamdulillah... benar Almy hamil anak kedua kami dan kandungan berkenaan sudah pun memasuki usia tujuh minggu," dedahnya. Terdahulu, Almy yang dihubungi mStar Online berhubung perkara berkenaan enggan mengesahkan perkara tersebut sebaliknya meminta Fizz membuat pengumuman itu. Almy dan Fizz bersama anak mereka, Nur Afrina Arianna. Pasangan ini bernikah pada 26 April 2014 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan cahaya mata perempuan Nur Afrina Arianna yang kini sudah berusia setahun. Dalam pada itu, Fizz berkata, sebagai suami dia bersyukur dengan berita berkenaan dan menganggap ia sebagai rezeki besar buat mereka sekeluarga. Jelasnya, dugaan kurang tawaran berlakon sebelum ini mempunyai hikmah kerana Allah memberikan rezeki lebih besar iaitu anak. "Saya dan Almy tidak merancang dan kami berdua gembira dengan rezeki diberikan Allah sekaligus memberi lembaran baharu buat kami sekeluarga. "Disebalik kurang tawaran berlakon rupa-rupanya ada rezeki lebih besar yang hendak diberi-Nya, Alhamdulillah," katanya. Dalam perkembangan lain, Fizz berkata, selain berlakon dia kini sibuk menguruskan penganjuran Karnival Mh Joget Pahang yang akan diadakan dalam masa terdekat. Barisan pelakon filem Munafik. Sementara itu, bercakap mengenai filem Munafik, Fizz berkata, dia berasa kagum dengan hasil kerja pengarahnya Syamsul Yusof yang disifatkan sebagai kreatif dan menepati citarasa penonton. Malah katanya, Munafik adalah antara filem terbaik arahan anak kepada penerbit Datuk Yusof Haslam itu dan bertuah dapat menjadi sebahagian naskhah berkenaan. "Dalam filem ini saya memegang watak pembantu sahaja tetapi ia tetap memberi kesan menarik kepada jalan ceritanya. "Jika Khurafat seramnya 100 peratus tetapi Munafik sekali ganda lebih hebat," katanya. Selain Fizz, Munafik yang bakal berada di pawagam pada 25 Februari ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim A. Galak dan Datuk Rahim Razali.