PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick kesal apabila seorang pengacara televisyen wanita bersikap sombong gara-gara dia bertanyakan individu itu program apakah diwakilinya sebelum ditemuramah. Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, tindakannya berbuat demikian sebelum rakaman adalah untuk menimbulkan rasa selesa antara mereka sebelum sesi wawancara bermula. "Sebagai pengacara berpengalaman saya rasa dia bersikap tidak profesional. Saya buka mulut dengan bertanya "ini program tentang apa?" kerana program tersebut bukan rancangan yang sudah dikenali. "Saya tidak rasa pertanyaan itu salah. Lagi pula saya berniat untuk berborak-borak kosong dulu bagi mengambil mood sebelum rakaman bermula," ujarnya kepada mStar Online. Janna berkata demikian ketika ditanya tentang luahan rasa marah seorang pengacara program hiburan yang mengkritiknya tidak membuat kajian tentang program tersebut sebelum memulakan rakaman. Pengacara berkenaan mendakwa persoalan yang diajukan oleh aktres itu seolah-olah tidak menghormatinya yang berpengalaman dalam industri hiburan. Janna berkata, sepanjang sesi rakaman tersebut, pangacara itu hanya bersikap dingin dan tidak menyapanya. "Saya tidak tahu dia marah, pada awalnya saya fikir dia seorang yang sombong kerana bersikap dingin dan tiada eye contact dengan saya. Seharusnya sebagai pengacara yang berpengalaman dia yang wujudkan rasa mesra agar kami tidak janggal ketika ditemuramah. "Sebaliknya dia menjauhkan diri daripada bercakap dengan saya," ujarnya. Dalam pada itu, Janna berkata, dia menganggap pengacara itu mempunyai masalah peribadi lain. Dia juga akan memastikan untuk lebih berhati-hati ketika bercakap agar tidak menyentuh hati mana-mana pihak. "Saya sangat sedih bila dia tegur saya secara terbuka di laman sosial tapi saya malas nak fikirkan perkara itu secara serius. "Mungkin dia ada masalah personal atau dia tidak suka budak-budak macam saya. Saya tidak boleh nak puaskan hati semua orang dan paksa orang suka kita, namun saya akan lebih berhati-hati selepas ini," ujarnya.