PETALING JAYA: Kumpulan Pitahati yang turut dianggotai tiga anak Datuk M Nasir antara pemuzik yang boleh dianggap pelik kerana sanggup membuang masa lebih 16 jam sehari untuk melakukan rakaman dalam studio tidak kedap bunyi. Vokalisnya, Ilham Nasir berkata, semasa proses rakaman album berjudul Selamat Datang Ke Panggung Suara itu, mereka diganggu bunyi bising motosikal dan juga hujan menyebabkan rakaman terpaksa dihentikan. "Album ini adalah satu produk baharu daripada Pitahati, ia merupakan eksperimentasi bunyi dan kami menjalani proses rakaman yang panjang iaitu 16 jam sehari. "Hampir semua lagu dirakam secara live di ruang studio yang tidak kedap bunyi dan sangat unik. Pengalaman kami ialah terpaksa berhenti beberapa jam ketika hujan bagi mengelakkan bunyi hujan terakam begitu juga jika ada bunyi motor yang terlalu bising menganggu proses rakaman," ujarnya kepada mStar Online. Album Pitahati dianggap unik kerana proses rakaman berbeza. Pitahati ditemui pada sidang media pelancaran album Selamat Datang Ke Panggung Suara di Studio Motiofixo, di sini, malam Isnin. Kumpulan ini dianggotai oleh Masrin (bass), Yasin (dram), Yasin (dram), Hidayat (gitar) dan Zahar (gitar). Tiga daripada anggota kumpulan itu merupakan anak kepada komposer dan penyanyi Datuk M Nasir iaitu Yasin, Ilham dan Hidayat. Kata Ilham, kegigihan mereka melalui proses rakman sebegitu kerana ingin dilihat unik selain menggambarkan nilai-nilai seni yang sebenar. Sementara itu, Ilham berkata, album yang memuatkan 18 buah lagu ini tercetus daripada projek lagu tema dan muzik latar untuk filem Terbaik Dari Langit yang dihasilkan setahun lalu. Menurutnya lagu-lagu dalam album ini juga adalah karya terbaik yang dihasilkan mengikut muzik kegemaran mereka. "Lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini merupakan ekspresi muzik yang kami suka dan kami ingin berkongsi dengan peminat-peminat kami yang berjiwa seni. "Kami tahu ia mungkin bertentangan dengan trend muzik semasa yang sedang dimainkan radio tempatan. Namun, muzik kami sebagai pilihan pendengar mendapatkan muzik yang berbeza daripada yang sering kita dengar di radio," ujarnya. Album diterbitkan oleh Luncai Emas ini akan dijual dalam bentuk cakera padat dengan harga RM20 dan dalam bentuk piring hitam dengan harga RM130 menerusi tempahan.