SHAH ALAM: Pelakon Janna Nick menepis tuduhan segelintir pihak kononnya dia semakin tamak dalam mengejar populariti apabila membuat keputusan untuk beralih ke bidang nyanyian. Janna Nick atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 21, berkata, tuduhan itu sepatutnya tidak timbul kerana jiwa dia sendiri sememangnya suka meneroka sesuatu yang baru. "Kehadiran single 'Mungkin Saja' ini tidak lebih sekadar satu eksperimentasi untuk menguji kemampuan saya dalam lapangan nyanyian. Bukan tamak apatah lagi dilabel mengejar populariti. "Saya cuma tidak mahu dicop sebagai artis yang stereotype, takut nanti orang cepat bosan. Apa-apa pun, berlakon tetap menjadi keutamaan saya,” katanya kepada mStar Online. Janna Nick Janna Nick ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya berjudul 'Mungkin Saja' bertempat di Ruang, Shah Alam, di sini pada Selasa. Tambahnya, tidak salah untuk dia mencuba sisi seni yang baru selagi ia tidak menganggu jadual kerja yang lain. Dia juga mengakui mungkin tidak memiliki vokal yang memukau tetapi cukuplah dia mampu menjadi seorang penghibur unjtuk peminat-peminatnya. Bercerita lanjut mengenai single 'Mungkin Saja', kata Janna dia kini turut mempersiapkan diri menghadiri kelas vokal dan tarian. "Apa-apa pun buat masa ini, selain berlakon cukup untuk saya katakan saya ingin fokus untuk mempromosikan single 'Mungkin Saja' di mana ia sudah pun dimainkan di radio dan mendapat sambutan yang baik daripada peminat-peminat saya," katanya. Janna Nick mula dikenali dengan watak gadis tomboi menerusi drama rantaian Kau, Aku, Kita yang disiarkan di slot Lestari, TV3.