PETALING JAYA: Pelakon Azhan Rani mengakui lambakan pelakon baharu sedikit sebanyak menjejaskan tawaran lakonan yang diterimanya ketika ini. Azhan, 40, berkata, stesen televisyen juga mempunyai pilihan yang ramai dan mengutamakan pelakon lebih muda untuk membintangi sesebuah drama di stesen televisyen mereka. "Saya tidak nafikan kedatangan pelakon muda sedikit sebanyak membei pilihan kepada stesen televisyen untuk mengambil pelakon lebih muda dari saya. "Situasi ini sering saya dan kawan saya hadapi contohnya tawaran yang pada awalnya diberi pada saya, namun selepas itu dibatalkan dengan alasan stesen televisyen ada pilihan lain," ujarnya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Azhan berkata, dia tidak terkilan, sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai bukan rezeki buatnya. Tambahnya, perkara tersebut sudah menjadi lumrah bagi pelakon-pelakon sepertinya yang bukan pilihan utama stesen televisyen. "Itu perkara biasa dan saya sudah tidak rasa terkilan atau pun marah, pada saya ia bukan rezeki dan ia juga bukan salah produksi yang pada mulanya memilih nama saya," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang sering membintangi watak jahat dalam sesebuah drama atau filem, katanya, sebagai pelakon dia tidak mempunyai pilihan yang banyak untuk membuat pilihan. Katanya, apa yang dilakukan dalam bidang lakonan setakat ini adalah untuk kelangsungan kerjayanya dalam industri seni. "Saya memang dikenali dengan watak jahat, walhal saya juga ada berlakon untuk watak yang baik. Tapi saya tidak kisah digelar sebagai jahat sekalipun. "Sebagai pelakon saya menerima sahaja tawaran dan kepercayaan yang diberikan oleh penerbit, ia juga sebagai cabaran buat diri saya," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, dia baharu sahaja selesai penggambaran drama Ketupat Terakhir dan Lukisan Cinta yang bakal disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri ini. Selain itu, dia juga bakal membintangi teater Muzikal Randai Cindua Mato yang dipentaskan pada 25, hingga 27 Mac depan di Istana Budaya.