suria

Remy Ishak Tidak Tertekan Soal Jodoh

Remy Ishak tidak meletakkan sebarang sasaran bila dia akan menamatkan zaman solonya.

PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak tidak tertekan untuk segera menamatkan zaman solonya biarpun sebelum ini pernah memberitahu merancang untuk berkahwin pada usia 28 tahun.

Remy atau nama sebenarnya Zalimie Ishak, 34, sebaliknya berkata, dia meletakkan soal itu kepada ketentuan jodoh kerana enggan berasa tertekan.

"Dahulu saya pernah cakap mahu berkahwin apabila usia mencapai 28 tahun namun sekarang sudah jauh tersasar.

"Jadi kali ini biarlah waktu dan jodoh sahaja menentukan dan saya tidak lagi berani untuk menetapkan soal itu kerana bimbang ia tidak menjadi," katanya kepada mStar Online.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Rumi by Remy Ishak dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Remy mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang wanita namun lebih selesa untuk tidak berkongsi kepada umum berhubung hubungan berkenaan.

Jelas Remy, masih belum tiba waktunya dia berbuat demikian kerana mereka masih dalam proses mengenal hati budi masing-masing.

"Cukuplah kalau saya katakan saya sedang dalam proses mengenali seseorang dan berkenaan status sekarang rasanya belum masanya saya untuk bercakap lanjut mengenainya.

"Bukan apa kami masih dalam proses berkenalan dan kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Tiba waktunya nanti saya sendiri akan dedahkan kepada semua," jelasnya.

Sementara itu, Remy berkata, tanggungjawab terhadap keluarga dikampung menjadi antara sebab dia tidak terlalu memikirkan soal perkahwinan buat masa ini.

Jelas Remy, keutamaannya adalah untuk memberikan keselesaan kepada keluarganya terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang diri sendiri.

"Satu perkara yang umum mungkin tidak tahu saya adalah harapan keluarga dalam membantu mereka terutamanya dari segi kewangan dan mereka adalah tanggungjawab saya.

"Sebab itu saya tidak terlalu terbeban memikirkan soal kahwin kerana saya perlu melunaskan tanggungjawab saya terhadap keluarga terlebih dahulu," katanya.

Remy Ishak

Artikel Lain