suria

APO2016: Aliff Aziz Nikah Lepas Aidilfitri

Aliff Aziz dan tunangnya Bella hadir pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online 2016 pada Khamis.


KUALA LUMPUR: Penyanyi Aliff Aziz bakal melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya iaitu Bella Astilla selepas sambutan hari raya Aidilfitri pada Julai depan.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 26, bagaimanapun berkata, keluarga kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis tersebut dan ia akan dimaklumkan kemudian.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang kami berdua akan disatukan sebagai suami-isteri selepas hari raya tetapi belum ada sebarang tarikh lagi buat masa ini.

"Bagaimanapun kami berdua sudah pun mula membuat persiapan kerana tidak mahu melakukan pada saat-saat akhir dan Alhamdulillah sehingga sekarang 40 peratus sudah pun siap," katanya kepada mStar Online.

Aliff berkata demikian ketika hadir pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) di Zebra Square di sini pada Khamis.

Acara terbitan Kumpulan Media Star Berhad itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

APO 2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Aliff dan Bella mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Aliff berkata, dia tidak mengharapkan sebarang tajaan untuk perkahwinannya nanti namun terbuka sekiranya ada pihak sudi berbuat demikian.

Jelasnya, paling penting majlis pernikahan dan resepsi mereka berdua nanti berjalan lancar seperti dirancang.

"Perancangannya kami hanya akan mengadakan resepsi di Kuala Lumpur dan hanya membuat resepsi kecil-kecilan di Singapura dan Sabah.

"Mengenai tajaan kami tidak mengharap dan sekiranya ada itu adalah rezeki kami berdua," katanya.

Sementara itu, Aliff yang tersenarai dalam pencalonan awal menerusi katerogi Penyanyi Lelaki Terbaik Pilihan Online berkata, dia menganggap ia sebagai rezeki namun tidak mengharapkan kemenangan.

Malah katanya, penganjuran kali pertama anugerah berkenaan dilihat sebagai memeriahkan lagi industri hiburan tempatan dalam memberi pengiktirafan kepada artis tanah air.

Untuk mengundi Aliff, orang ramai boleh mengunjungi http://apo.mstar.com.my


Aliff Aziz, APO 2016

Artikel Lain