suria

Bila Tidak Guna Pengaruh Bapa Mahu Lonjakkan Kerjaya

Bila tidak pernah menggunakan pengaruh bapanya untuk berjaya dalam bidang muzik.



PETALING JAYA: 
Penyanyi Bila tidak pernah menggunakan pengaruh nama bapanya, pemain bes kumpulan Wings iaitu Eddy untuk menaikkan karier nyanyiannya selepas program Akademi Fantasia yang disertainya pada tahun lalu berakhir.

Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi, 20, berkata, dia mahu mengecap kejayaan atas usahanya sendiri dan bukannya bergantung harap kepada populariti bapanya semata-mata.

"Hakikat yang tidak dapat saya ubah adalah dia adalah bapa saya dan akan terus dibayangi olehnya kerana kami mempunyai pertalian keluarga.

"Tetapi saya tidak pernah menggunakan pengaruhnya untuk meningkatkan karier nyanyian saya kerana amat penting untuk saya berusaha sendiri mencipta nama sebagai penyanyi," katanya kepada mStar Online.

Bila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online 2016 (APO 2016) di Zebra Square di sini pada Khamis lalu.

Acara terbitan Kumpulan Media Star Berhad itu buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Dalam pada itu, Bila mengakui sejak program Akademi Fantasia berkahir banyak perkara membuka matanya tentang realiti sebenar industri hiburan.

Bila tercalon menerusi kategori Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online.

Katanya, masih banyak perkara perlu dipelajarinya sebagai artis baharu selain menyedari bukan mudah untuk berjaya sebagai penyanyi.

"Semasa di Akademi Fantasia pendedahan itu mungkin tidak sebanyak selepas program itu tamat namun sedikit sebanyak dapat membuatkan saya bersedia menghadapi realiti sebenar.

"Alhamdulillah banyak perkara baharu yang saya pelajari dan melihat ia sebagai peluang untuk mematangkan saya sebagai penyanyi," katanya.

Sementara itu, Bila berkata, selain sibuk mempromosikan single pertamanya berjudul Diam Sahaja dia juga kini banyak menerima undangan nyanyian sejak rancangan realiti itu tamat.

"Saya masih menapak perlahan-lahan untuk meningkatkan karier tetapi syukur rezeki mengadakan persembahan cukup banyak selain single pertama semakin mendapat perhatian," ujarnya.

Sementara itu mengenai APO 2016, peminat boleh mengundi calon pilihan masing-masing dengan melayari http://apo.mstar.com.my

Bila dipilih bagi kategori Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online.

Acara kemuncak ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan, pukul 9 malam dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur.

Bila AF, APO 2016

Artikel Lain