PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza menerima tawaran sebagai juri dalam program realiti Akademi Silat Pendekar Muda terbitan TV Alhijrah adalah sebagai tanda sokongan terhadap budaya tradisonal Melayu. Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, berkata, dia yang meminati seni mempertahankan diri itu berasa terpanggil untuk sama-sama terlibat dalam mempromosi rancangan yang mengangkat martabat seni warisan berkenaan. "Sebenarnya tawraan datang lambat dan secara tiba-tiba daripada Cikgu Rozaidi atau Wak Didi iaitu guru yang mengajar saya dan suami asas persilatan. "Saya terima kerana saya seorang yang suka kepada budaya tradisional, dahulu ketika di sekolah pun saya menyertai Persatuan Silat. Saya seronok melihat budaya kita diangkat martabatnya," ujarnya kepada mStar Online. Siti Nurhaliza bersama peserta-peserta program itu. Siti berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penglibatannya dalam program Akademi Silat Pendekar Muda yang mula bersiaran pada episod pertama Rabu lalu di TV Alhijrah. Bagaimanapun, disebabkan kekangan jadual, Siti berkata, dia terlibat menjayakan program itu selama dua episod sahaja. "Mereka mahu saya terlibat hingga akhir episod, tetapi sayangnya saya sudah sibuk dengan latihan konsert akan datang, jadi dapat hingga dua episod sahaja," ujarnya. Sementara itu, ditanya tentang kemahiran silat, Siti berkata, dia belajar seni mempertahankan diri tersebut secara asas sebagai pelindung buat dirinya. "Saya tidak begitu pandai tapi tahulah sikit-sikit. Kalau berhadapan dengan kecemasan terkeluar jugalah silat saya," ujarnya. Akademi Silat Pendekar Muda bersiaran pada setiap Rabu pukul 9 malam di TV Al hijrah. Program itu dihoskan oleh pelawak Ebby Yus dan Jimmy Shanley.