suria

Tunang Aliff Aziz Dipulaukan Sahabat Selepas Bertunang

Aliff dan Bella bakal berkahwin selepas sambutan hari raya Aidilfitri pada tahun ini.
PETALING JAYA: Tunang kepada Aliff Aziz iaitu Bella Astilla kesal apabila dipulau beberapa teman baiknya selepas dia bertunang dengan penyanyi berasal dari Singapura itu.

Bella berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mereka berbuat demikian namun mengakui cukup terkilan kerana hubungan mereka rapat bagaikan adik-beradik sebelum ini.

"Sebelum saya mengikat tali pertunangan hubungan saya dengan kawan-kawan memang baik tetapi mereka berubah secara tiba-tiba tanpa saya tahu puncanya.

"Saya tertanya-tanya juga kenapa berbuat demikian, adakah kerana tidak menyukai Aliff atau ada perkara lain menggangu mereka.

"Memang sedih kerana hubungan kami rapat seperti adik-beradik," katanya.

Terdahulu, pasangan berkenaan mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Julai depan.

Bagaimanapun keluarga kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis tersebut dan ia akan dimaklumkan kemudian.

Aliff, 26, dan Bella sebelum itu mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.

Aliff dan Bella mengikat tali pertunangan pada Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, Aliff berkata, dia tidak mahu Bella terlalu memikirkan soal berkenaan kerana sebagai manusia biasa mereka tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Jelasnya, tindakan rakan-rakan tunangnya itu cukup mencerminkan siapa diri mereka sebenar selain niat mereka berkawan baik dengan Bella.

"Saya tidak pernah percaya bahawa lelaki boleh berkawan baik dengan perempuan dan sekiranya mereka tidak boleh menerima hakikat saya dan Bella bakal berkahwin kami tidak dapat lakukan apa-apa.

"Paling penting sekarang kami fokus kepada perancangan untuk perkahwinan kami nanti," katanya.

Sementara itu, Aliff berkata, ikatan pertunangan banyak mengajar mereka berdua untuk memahami diri masing-masing dengan lebih baik.

"Dalam tempoh bertunang ini orang kata banyak dugaan tetapi pada saya, kami lebih memahami di antara satu sama lain.

"Pertengkaran itu perkara biasa dan Alhamdulillah kami semakin matang sebelum menempuh alam rumah tangga," ujarnya.

Aliff Aziz, Bella Astilla

Artikel Lain