PETALING JAYA: Komposer Datuk Adnan Abu Hassan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Selayang. Adnan, 57, dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira pukul 2 pagi Khamis selepas diserang angin ahmar dan kegagalan buah pinggang berfungsi. Rakan baiknya, penulis lirik Mohariz Yacoob berkata, keadaan komposer itu masih tiada perubahan selepas doktor memberikan ubat "tidur" sejak beliau dirawat di wad itu pagi tadi. "Beliau masih tidak sedarkan diri, sejak pagi tadi doktor sudah memberikan ubat supaya dia tidur dan berehat. "Doktor beritahu jantungnya begitu lemah. Pada masa ini beliau masih menggunakan alat bantuan pernafasan," ujarnya kepada mStar Online. Adnan dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang. Tambah Mohariz, komposer berkenaan turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Menurutnya ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan artis turut hadir melawat komposer berkenaan. Selain itu dia juga meminta orang ramai mendoakan agar keadaan kesihatan komposer tersebut kembali stabil. Adnan Abu Hassan merupakan komposer yang menghasilkan beberapa lagu popular antaranya Teratai Layu Di Tasik Madu, Jerat Percintaan, Bunga-Bunga Cinta dan Puncak Kasih.