PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah memaksa para peminat untuk mengundinya dalam mana-mana anugerah yang menuntut mereka berbuat demikian. Malah, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, turut mengingatkan peminatnya agar tidak berasa kecewa jika dia tidak memenangi dalam kategori yang menyenaraikan namanya. "Bagi saya anugerah yang melibatkan undian online ini adalah hadiah kepada peminat-peminat kerana dengan cara ini sahaja mereka boleh terlibat untuk membuat pemilihan berbanding anugerah yang melibatkan juri profesional. "Namun saya tidak pernah memaksa mereka untuk mengundi atau susun strategi agar saya menang dalam mana-mana kategori. Semua urusan itu saya serahkan kepada peminat kerana kalau menang pun untuk mereka dan kalah pun tidak mengapa," ujarnya kepada mStar Online. Siti Nuhaliza diminta mengulas tentang pencalonan awal dua kategori untuknya dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) iaitu Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online dan Wanita Anggun Pilihan D'Nars anjuran mStar Online bersama Suria FM. Tambah Siti, dia juga mengingatkan peminat-peminatnya agar tidak mempertikaikan keputusan undian jika dia tewas dengan mana-mana artis lain. Siti Nurhaliza "Kami ada prinsip dan falsafah sendiri dan mereka faham tentang itu, saya selalu ingatkan mereka kalau menang adalah rezeki dan kalau kalah pula, tidak boleh pertikaikannya. "Lagi pula kemenangan dalam mana-mana anugerah bukan keutamaan saya kerana yang penting ialah peminat selalu menyokong kerjaya saya," ujarnya. Bagaimanapun, Siti mengakui anugerah melibatkan undian peminat adalah salah satu cara untuk dia lebih dekat dengan peminat-peminatnya. Dalam APO2016, Siti bersaing dengan lebih 30 penyanyi wanita dalam kategori Penyanyi Wanita Terbaik Pilihan Online. Manakala, lebih 20 selebriti wanita kategori Wanita Anggun Pilihan Dnars. APO2016 ketika ini melalui peringkat pencalonan awal yang perlu dibuat menerusi laman web apo.mstar.com.my Acara ini dijayakan dengan kerjasama Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada 30 April depan.