suria

"Berat Ceraikan Elly Mazlein Ketika Hamil, Faye Kusairi Bukan Punca" - Azmi Hatta

Azmi anggap tuduhan Elly Mazlein kasar.
PETALING JAYA: Pengarah drama Azmi Hatta menegaskan keruntuhan rumah tangga yang dibina bersama aktres Elly Mazlein bukanlah disebabkan orang ketiga iaitu pelakon Faye Kusairi.

Azmi, 40, berkata, tuduhan mengaitkan pelakon wanita itu adalah tidak berasas dan sangat tidak adil buat dirinya.

"Saya terkilan dengan tuduhan mengaitkan nama orang ketiga iaitu Faye Kusairi dalam hal rumah tangga kami, Faye tiada kena mengena dengan hubungan kami, apatah lagi sebagai punca perpisahan kami.

"Saya akui Faye pernah berlakon dengan saya tapi dalam masa penggambaran itu saya nikah dengan Elly.

"Adakah saya ini jenis lelaki yang teramat jahat permainkan perempuan lain dalam masa yang sama semua orang tahu saya sedang mendirikan rumah tangga? Saya ada akal yang waras untuk berfikir, " ujarnya.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan ruangan pojok akhbar mingguan bahawa perpisahannya dengan pelakon Elly Mazlein disebabkan orang ketiga iaitu Faye Kusairi.

Azmi berkata, dia juga menganggap kenyataan bekas isterinya itu yang menuduh dia cuba bermain kayu tiga sebagai terlalu kasar.

"Kenyataannya dalam akhbar hari ini (Ahad) terlalu kasar buat saya, adakah disebabkan saya lelaki membuatkan persepsi menjadi berat sebelah, apa salah saya dan orang tidak tahu perkara sebenar.

"Saya bertanya kepada Elly kenapa dia mahu kaitkan Faye yang tidak bersalah? Saya juga simpati dengan nasib Faye kerana menjadi bahan untuk menjatuhkan maruah saya," ujarnya.

Sementara itu, mengulas tentang perpisahan yang terjadi, Azmi berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan rumah tangga tersebut tetapi gagal.


Faye Kusairi bukan punca perpisahan  Elly Mazlein dan Azmi Hatta.

Katanya, talak dijatuhkan dihadapan hakim di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 15 Oktober tahun lalu.

"Kami berpisah selepas mendapat khidmat nasihat beberapa pihak dan talak dijatuhkan di hadapan hakim ketika usia kandungan Elly berusia empat bulan.

"Secara warasnya memang saya tidak mahu berpisah dan saya bukan lelaki yang kejam untuk ceraikan dia pada waktu dia sedang hamil. Namun jodoh itu kuasa Allah, tempoh edah yang ditetapkan bagi wanita hamil ialah hingga dia selamat bersalin.

"Dalam tempoh edah itu saya masih menjalankan tanggunjawab untuk menjaga dia dan kandungan dengan baik," ujarnya.

Azmi berkata, perpisahan yang berlaku pada usia perkahwinan yang belum setahun itu sangat berat untuk diterimanya.

Perjuangannya selama ini mempertahankan hubungan cinta dan melalui pelbagai pahit maung selama tempoh percintaan tidak mampu dipertahankan lagi.

"Saya ralat, begitu juga keluarga saya kerana tidak sempat pun sambut ulang tahun perkahwinan lagi kami sudah berpisah.

"Saya juga terkilan ramai pihak menunding jari kepada saya sebagai orang yang dipersalahkan dalam perpisahan ini. Hanya Allah yang lebih mengetahui tentang ini dan saya yakin berada di pihak yang benar," ujarnya.

Pasangan ini berkahwin pada 9 November 2014 pada satu majlis yang diadakan di Surau As Sakinah, bersebelahan kubur ibu Elly di Puchong, dekat sini.

Elly selamat melahirkan anak perempuan diberi nama Putri Sara Sefhia seberat 2.5 kilogram di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Artikel Lain