suria

"Rumit Untuk Saya Kongsi Kisah Hamil" - Adira

Adira
KUALA LUMPUR: Penyanyi Adira menganggap gosip kononnya dia sedang hamil adalah sesuatu yang rumit untuk dijelaskan dan berharap perkara itu tidak lagi diperbesar-besarkan.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 25, berkata, dia tidak mempunyai sebarang penjelasan mengenai perkara itu sebaliknya meminta agar peminat terus mendoakan perkara yang baik untuk dirinya.

"It's complicated (Ia rumit). Seperti sebelum ini saya tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas mengenai perkara itu.

"Harap peminat dapat doakan yang baik-baik untuk saya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media calon lima terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian 29 (ABPBH29) di sini, Selasa.

Adira berkata demikian sebagai mengulas tindakan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu yang meninggalkan komen gambar botol susu pada gambar penyanyi itu di Instagram.

Tindakan Adenan itu mula mendapat perhatian pengikut Adira dan mereka mula membuat spekulasi pasangan tersebut bakal menimang cahaya mata.

Adira berkahwin dengan Adenan sebagai isteri kedua di Songkhla, Thailand pada 3 Disember tahun lalu.

Adira bersama suaminya, Adenan Abu.

Dalam pada itu, Adira berkata, seperti pasangan suami-isteri yang lain dia juga berharap dikurniakan cahaya mata bagi menyerikan rumah tangga mereka.

Malah dia tidak meletakkan sebarang tempoh untuk hamil sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada rezeki.

"Kami tidak merancang dan jika Allah hendak beri cepat saya bersyukur. Doa-doakanlah," ujarnya.

Sementara itu, Adira berkata, semenjak hidup bermadu kehidupannya tidak banyak berubah dan sentiasa bersikap positif biarpun ada yang memandang serong terhadapnya.

Kata Adira, komunikasi adalah paling penting dalam hidup bermadu dan dia sentiasa berbincang dengan suami sekiranya timbul sesuatu perkara.

"Alhamdulillah kehidupan semua okay dan berjalan seperti biasa cuma kami berdua amat pentingkan komunikasi antara suami-isteri.

"Pada saya ia sangat membantu bagi mengelakkan sebarang salah faham dan dengan cara itu kami lebih memahami diri masing-masing," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Adira baharu sahaja muncul dengan sungle berjudul Ku Mahu Pulang yang juga lagu tema untuk telefilem Inayah.

Selain itu, dia juga baharu sahaja selesai merakamkan sebuah lagu duet bersama penyanyi Singapura, Taufiq Batishah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Mengulas mengenai pencalonannya menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular ABPBH 29, Adira berkata, dia tidak menyangka mendapat tempat lima terbaik dan menyifatkan ia adalah hasil kerja keras peminat.

"Peminat bersama saya ketika susah dan senang dan pencalonan ini adalah bukti sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi," ujarnya.
Adira

Artikel Lain